Mahaizura Abd Malik


DARI Januari hingga September lalu, 1,109 majikan mahupun syarikat menawarkan peluang pekerjaan kepada bekas penagih dadah yang mengikuti program pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkembangan itu didorong oleh pemberian insentif potongan cukai pendapatan kepada majikan yang menggaji bekas penagih dadah berkuatkuasa tahun ini hingga tahun depan.

“Perkara ini diharapkan dapat memberikan galakan kepada majikan atau syarikat mengambil klien AADK untuk bekerja dengan mereka.

“Ia juga boleh dilihat sebagai tanggungjawab sosial korporat majikan atau syarikat itu dalam membantu pemulihan bekas penagih dalam komuniti.

“Secara tidak langsung, negara kita dapat mengurangkan kebergantungan kepada perkhidmatan pekerja asing, mengurangkan masalah pengangguran, jenayah serta kadar ‘relapse’ dalam kalangan mereka yang sedang dalam pemulihan,” katanya pada Majlis Anugerah Kepulihan Klien 2019 di ibu pejabat AADK di Bangi hari ini.

Seramai 16 bekas penagih dadah yang berjaya pulih dari tiga hingga 20 tahun menerima anugerah penghargaan termasuk seorang daripada mereka dinobatkan Tokoh Kepulihan 2019.

Beliau berkata, dari 1999 hingga kini 13,709 bekas penagih dadah yang diselia AADK berjaya mengekalkan tahap pemulihan mereka.

Sementara itu Ketua Pengarah AADK Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, sokongan majikan mengambil bekas penagih bekerja membantu golongan itu terus kekal pulih daripada belenggu najis dadah.

“Kebanyakan majikan yang menggajikan bekas penagih merangkumi sektor perkhidmatan, perhotelan, perkilangan dan pembinaan.

“Kita berharap kerajaan akan meneruskan insentif ini kepada majikan bagi memberi galakan kepada mereka mengambil pekerja dari kalangan bekas penagih dadah.

“Ini kerana faktor pekerjaan penting kepada bekas penagih untuk menentukan mereka terus kekal dalam pemulihan ini selain sokongan keluarga dan masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 9:23 PM
Muhyiddin bersama Zulkifli bergambar dengan penerima anugerah Kepulihan AADK 2019 di Bagni hari ini. FOTO Aizuddin Saad
Muhyiddin bersama Zulkifli bergambar dengan penerima anugerah Kepulihan AADK 2019 di Bagni hari ini. FOTO Aizuddin Saad