SURIANI (tengah) bersama peserta dan pemenang Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Kebangsaan.
SURIANI (tengah) bersama peserta dan pemenang Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Kebangsaan.
Norizuan Shamsuddin


“PERTANDINGAN ini menjadi platform kepada kami untuk menyampaikan informasi dan membangkitkan semangat kecintaan kepada tanah air selain menghargai pemimpin dan individu atau tokoh yang berjasa kepada negara.

“Tak sangka persembahan bertajuk Yang Luar Biasa ini yang mengadaptasikan segala berkaitan salasilah insan yang kami anggap betul-betul luar biasa iaitu Tun M (Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) berjaya menambat hati juri sehingga dinobatkan sebagai johan,” kata Noorhisham Razali, 40.

Gandingan persembahan Noorhisham bersama dua rakannya, Mohd Norhafifi Zolkiaply, 33, dan Muhamad Noriman Mustafa All Bakry, 30, dari kumpulan Alahai Anak Emak dengan persembahan Yang Luar Biasa dinobatkan sebagai Johan bagi Pertandingan Akhir Pengisahan Kenegaraan Peringkat Kebangsaan 2019 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia yang dilaksanakan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini, Ahad lalu.

Kemenangan itu sekali gus melayakkan kumpulan ditubuhkan sejak 2015 yang mewakili Selangor merangkul piala pusingan, hadiah wang tunai RM6,000, plak iringan berserta sijil.

Noorhisham yang memegang watak sebagai Pak Atan berkata, dia bersama dua rakannya itu membuat persiapan rapi selama sebulan bagi menjayakan persembahan terbabit.

Katanya, pengisahan itu turut dimasukkan pelbagai unsur iaitu nyanyian, unsur lawak, sedih, pantun, syair dan sebagainya bagi menarik minat penonton supaya tidak bosan sekali gus dapat menghayati apa yang ingin sampaikan.

“Melalui pengisahan ini kita sampaikan mengenai salasilah, jasa-jasa beliau (Tun M) sebelum ini sehingga kembali menjadi pemimpin negara yang bertujuan untuk membangkitkan semangat kecintaan pada negara ke dalam kalangan penonton selain menghargai jasa dan sumbangan insan yang luar biasa ini yang banyak mencurahkan bakti kepada negara.

GELAGAT  kumpulan Alahai Anak Emak yang menjadi Johan Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Kebangsaan di UnisZA, Gong Badak.
GELAGAT kumpulan Alahai Anak Emak yang menjadi Johan Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Kebangsaan di UnisZA, Gong Badak.

“Harap Tun M dapat menyaksikan sendiri persembahan Yang Luar Biasa ini kerana kami difahamkan setiap persembahan pada pertandingan ini dimuat naik melalui pelbagai platform yang boleh dilayari oleh pelbagai lapisan masyarakat seperti media sosial, Youtube dan sebagainya oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen).

“Kita juga berharap program terbabit dapat terus dilaksanakan pada masa akan datang kerana dapat memberikan pelbagai manfaat selain memupuk semangat patriotisme di kalangan masyarakat yang berbilang bangsa di negara ini selain dapat mencungkil bakat peserta,” katanya.

Pertandingan Akhir Pengisahan Kenegaraan Peringkat Kebangsaan 2019 bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ dianjurkan JaPen dengan kerjasama strategik antara Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail Negeri Terengganu.

Majlis dirasmikan Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Suriani Datuk Ahmad dan turut dihadiri Ketua Pengarah Penerangan, Roselindawati Abdul Rahman serta Pengarah Pusat Pembangunan Holistik Pelajar mewakili Naib Canselor UniSZA, Dr Abdullah Ibrahim.

Pada pertandingan akhir yang berlangsung di Dewan al-Muktafi Billah Shah, UniSZA itu menyaksikan lima kumpulan berentap menunjukkan kehebatan masing-masing bagi merebut gelaran Johan.

Naib Johan dirangkul Kumpulan Pewaris Bangsa dari Pahang dengan tajuk ‘Kita Takkan Lupa!’ manakala tempat ketiga dimenangi Kumpulan Wira Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dari Johor dengan tajuk ‘Tiga Leftenan Yang Tidak Didendang’.

Pertandingan kali ke-17 terbabit adalah kesinambungan program cintakan negara yang dilaksanakan oleh JaPen sejak 2003.

Sementara itu, Suriani menerusi ucapannya berkata, pelbagai program peringkat persekutuan dan negeri yang menarik dilaksanakan bagi menyemarakkan semangat cintakan negara dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Dalam hal ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada JaPen kerana berjaya menganjurkan Program Pengisahan Kenegaraan yang bermula sejak 2003 sehingga kini iaitu selama 17 tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 6:05 AM