Ibrahim Isa

TERPERANGKAP di dalam longkang besar lebih 15 jam.

Itu nasib malang dialami lelaki warga Singapura yang ditemui terduduk di dalam Sungai Segget di Jalan Wong Ah Fook di sini, ketika cuba mengambil begnya yang terjatuh.

Mangsa dikatakan tergelincir menyebabkan kakinya terseliuh ketika cuba turun ke dasar longkang itu malam Selasa lalu.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, Khairul Azhar Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan jam 3.48 petang kelmarin sebelum 10 anggota bomba membabitkan satu jentera dan satu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, anggota bomba mendapati seorang lelaki dewasa berada di dalam Sungai Segget sedalam kira-kira lima meter sejak jam 12 tengah malam.


“Difahamkan, mangsa, Roy Woodwacth, 40-an, tergelincir ketika cuba menyelamatkan beg kantung berisi dokumen dan telefon bimbit yang sebelum itu terjatuh ke Sungai Segget.

“Mangsa gagal menyelamatkan begnya dan tercedera di kaki menyebabkannya dia hanya terduduk di bawah jambatan berhampiran sebelum meminta bantuan orang yang lalu di kawasan itu.

“Kami guna tangga untuk menyelamatkannya. Dia kemudian meminta bantuan dihantar ke Balai Polis Jalan Wong Ah Fook,” katanya.

Menurutnya, mangsa kelihatan letih dan lemah namun boleh memanjat tangga. Operasi tamat jam 4.36 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 6:00 AM