JAS menempatkan satu unit di Pasir Gudang selepas kejadian di Sungai Kim Kim. FOTO Arkib NSTP
JAS menempatkan satu unit di Pasir Gudang selepas kejadian di Sungai Kim Kim. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

JABATAN Alam Sekitar (JAS) Johor menempatkan satu unit di Pasir Gudang, Johor Bahru dalam usaha kerajaan memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di sana terutama selepas berhadapan dengan dua episod pencemaran tahun ini.

Pengarahnya Mohd Famey Yusoff berkata, dengan adanya unit yang ditempatkan di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) itu, masa bertindak pihaknya terhadap sebarang aduan oleh masyarakat setempat lebih cepat.

“Pegawai dalam unit ini dalam keadaan bersedia di sana. Jadi apabila ada sekolah bermasalah, mereka (pihak sekolah) akan berhubung terus dengan unit ini.

“Pegawai ambil masa 10 hingga 15 minit untuk ke sekolah ini, jadi masa bertindak lebih cepat. Ini adalah usaha kerajaan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di Pasir Gudang.

“Kalau dulu kita dari Johor Bahru, mengambil masa untuk ke sana. Bila ada bau, ada masalah, pegawai yang nak datang dari Johor Bahru mengambil masa, kadang-kadang setengah jam, kalau jalan raya sesak, ambil masa sejam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Sekolah Angkat Industri Daerah Pasir Gudang (PROSPAG) 2019 di Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Gudang hari ini.

Pada majlis itu, 16 pihak industri menyerahkan alat pengesan pelbagai gas kepada 20 sekolah di sekitar Pasir Gudang untuk fasa pertama.

Selain itu, pihak industri turut memberi latihan kepada sekolah angkat untuk menerangkan cara menggunakan alat berkenaan.

Menurut Mohd Famey, sehingga kini 64 pihak industri di Pasir Gudang bersetuju untuk membekalkan alat pengesan gas kepada 111 sekolah yang terjejas akibat pencemaran Sungai Kim Kim pada Mac dan Jun lalu.

Mengenai data analisis Sungai Kim Kim yang didedahkan sebuah parti politik Jumaat lalu, Mohd Famey berkata, ada cara dan teknik yang sepatutnya dipatuhi ketika mengambil sesuatu sampel.

“JAS tidak dapat pastikan sama ada teknik dan taktik yang diambil oleh individu atau pertubuhan itu memenuhi piawaian ditetapkan.

“Jadi di pihak JAS, kita tidak boleh atau tidak dapat memastikan sama ada itu (data analisis) benar atau tidak benar.

“Sebab kita kena faham, air itu mengalir, kalau ambil sekarang esok dah lain, hari ini, jam ini dan jam yang seterusnya pun dah lain sebab air itu mengalir.

“Ini (faktor) semua mengambil peranan dalam menentukan tahap kepekatan bahan pencemar dalam air itu,” katanya.

Pada 20 September lalu, Biro Aduan Awam Putra mendakwa data analisis Sungai Kim Kim yang dijalankan mereka berdasarkan sampel air yang diambil di 10 lokasi di jajaran Sungai Kim Kim menunjukkan tahap pencemaran berganda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 5:47 PM