GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Khairul Najib Asarulah Khan


PEGAWAI bank kerugian RM30,000 selepas rumahnya dimasuki empat lelaki tidak dikenali di Jalan SS 12/2C, Subang Jaya, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, mangsa, wanita berusia 50-an yang ketika itu berada di halaman rumah didatangi suspek lalu menolaknya ke dalam rumah.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, ketika kejadian, semua suspek yang dianggarkan berusia 30-an itu memakai baju berpenutup kepala (hoodie), bertopeng dan salah seorang mereka bersenjatakan sebatang besi.

Katanya, mereka kemudian meluru masuk ke dalam rumah mangsa dan mengarah suami mangsa, anak saudaranya dan pembantu rumah duduk di ruang tamu.

Menurutnya, salah seorang daripada suspek kemudian mengawal mereka.

“Tiga lagi suspek kemudian menyelongkar semua bilik dan mengambil barang berharga seperti beg tangan, jam tangan, barang kemas dan wang tunai yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM30,000.

“Keempat-empat suspek kemudian melarikan diri namun mangsa bersama keluarganya tidak dicederakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Risikin berkata, pihaknya kini sedang giat mengesan suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan bersenjata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 8:45 AM