Hadzlihady Hassan


HANYA kerana tidak diberikan wang RM20, lelaki mengamuk dan mengugut mahu membunuh bapanya sendiri di rumah mereka di Kampung Nyior Sebatang, di Tasek Gelugor, semalam.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, lelaki berusia 34 tahun terbabit meminta wang kepada bapanya yang berusia 74 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki warga emas itu bagaimanapun enggan memberikan wang yang diminta anaknya itu.

“Suspek yang berang kemudian mengamuk dengan menolak dan menghempas barang dalam rumah.

“Tidak cukup dengan itu, suspek turut mengambil sebilah pisau dan mengugut mahu membunuh bapanya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Noorzainy berkata, ketika kejadian, hanya dua beranak terbabit berada dalam rumah berkenaan kerana ahli keluarga lain berada di tempat kerja.

“Mangsa yang bimbang dengan ugutan anak lelakinya itu kemudian membuat laporan polis.

“Susulan daripada itu, sepasukan polis bergegas ke rumah terbabit dan berjaya menahan suspek,” katanya.

Menurutnya, ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan dia turut mempunyai empat rekod lampau bersabit kes dadah dan jenayah.

“Suspek akan direman, hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 10:54 AM