KEBAKARAN hutan yang berterusan di Sri Aman. FOTO ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat
KEBAKARAN hutan yang berterusan di Sri Aman. FOTO ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat
Mohd Roji Kawi


OPERASI pemadaman kebakaran hutan di dua lokasi di Sri Aman dan satu di Betong akan dilaksanakan secara besar-besaran Sabtu dan Ahad ini, sebaik sahaja pesawat Bombardier CL-415, mampu beroperasi semula.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Khirudin Drahman berkata, ketika ini pesawat milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) itu menjalani penyelenggaraan berjadual di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuching.

Beliau berkata, Pasukan Polis Marin (PPM) juga akan membantu operasi berkenaan dengan mengawal lalu lintas sungai bagi mengelak nelayan memasuki kawasan yang ditetapkan untuk pesawat berkenaan mengambil air.

“Selepas mengadakan penerbangan untuk kajian pemantauan semalam, pesawat itu terpaksa balik ke Pangkalan TUDM Kuching untuk penyelenggaraan yang dijangka mengambil masa dua hari.

“Berdasarkan pemantauan yang dilakukan semalam, keadaan di Sungai Batang Lupar tidak sesuai untuk pesawat itu mengambil air dan dijangka apabila operasi pesawat disambung semula Sabtu ini, mereka akan mengambil air dari Sungai Lingga,” katanya kepada media selepas majlis penutupan Kenyalang Mapping Technologies (KMTECH 2019) di sini, semalam.

Beliau berkata, ketika ini JBPM menumpukan operasi pemadaman di tiga lokasi iaitu di Kampung STC dan Jalan Kejatau di Sri Aman serta di Jalan Tisak, Betong yang membabitkan keseluruhan kawasan terbakar dianggarkan hampir 300 hektar.

“Kekuatan anggota bomba juga ditambah dengan 18 anggota dari Kuching dikerah ke Sri Aman semalam dan hari ini, 15 anggota tambahan dari Kuching akan membantu operasi di sana,” katanya.

Khirudin berkata, kebakaran hutan yang berlarutan sejak beberapa hari lalu memburukkan lagi keadaan jerebu di Sri Aman dan Betong yang turut terdedah kepada jerebu rentas sempadan akibat kebakaran hutan di negara jiran.

“Sebab itulah tumpuan kini diberikan sepenuhnya untuk memadam kebakaran di Sri Aman dan kita akan bersama dengan beberapa agensi lain untuk melaksanakan operasi besar-besaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 5:45 AM