ROKOK seludup dirampas selepas polis menahan enam lelaki termasuk tiga warga Myanmar di Puchong, semalam. FOTO ihsan polis.
ROKOK seludup dirampas selepas polis menahan enam lelaki termasuk tiga warga Myanmar di Puchong, semalam. FOTO ihsan polis.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


POLIS membongkar sindiket pengedaran rokok seludup bernilai RM5 juta selepas menahan enam lelaki termasuk tiga warga Myanmar di Puchong, semalam.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, suspek berusia 24 hingga 52 tahun itu ditahan bersama 21,800 karton rokok putih dan 11,130 karton keretek pelbagai jenama.

Beliau berkata, polis turut merampas sebuah lori Hino lima tan dan dua kereta Toyota Vios serta Nissan Sentra sebagai bahan bukti siasatan.

“Jumlah nilai rampasan dianggarkan RM5,142,888. Hasil siasatan turut mendapati seorang daripada suspek itu memiliki rekod jenayah lampau.

“Semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dan direman selama tujuh hari berakhir Rabu depan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya percaya sindiket berkenaan aktif mengedarkan rokok seludup kepada kedai runcit di sekitar Lembah Klang.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan jenayah termasuk pengedaran rokok haram boleh menyalurkan ke balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 10:20 PM