RAZALI menunjukkan hasil tangkapan ikan yang sedikit akibat cuaca tidak menentu di Kuala Tebengau. FOTO Noorazura Abdul Rahman
RAZALI menunjukkan hasil tangkapan ikan yang sedikit akibat cuaca tidak menentu di Kuala Tebengau. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


LEBIH 300 nelayan pantai di Kuala Tebengau dan Kuala Kedah mengeluh berikutan terjejas pendapatan akibat hujan dan ribut di laut.

Keadaan itu menyebabkan nelayan di kawasan itu hanya turun ke laut purata 10 hingga 12 kali saja bulan ini kerana bimbangkan keselamatan mereka.

Nelayan, Razali Yusuf, 60, berkata, dalam bulan ini, dia hanya turun ke laut lima kali dengan hasil tangkapan yang sangat sedikit.

“Keadaan cuaca yang tidak menentu menyebabkan ikan kurang. Misalnya hari ini (semalam), saya hanya menangkap empat kilogram (kg) ikan antaranya ikan gelama, belukang dan ikan senangin.

“Saya jual sendiri ikan ini dengan harga antara RM4 hingga RM10 sekilogram. Dapatlah duit petrol bot iaitu RM20, untung cuma RM20 dan saya bahagikan dengan anak saya yang menemani saya ke laut,” katanya.

Bapa lima anak ini berkata, pendapatan nelayan sejak akhir-akhir ini susut 70 peratus kerana sebelum ini dia mampu meraih pendapatan RM70 sehari.

Nelayan muda, Muhammad Syafiq Sobri, 23, akui pernah mendapat hanya dua kilogram ikan hingga menanggung kerugian untuk mengisi petrol bot.

“Ada hari tertentu sewaktu cuaca tidak mengizinkan saya balik dengan tangan kosong.

“Saya baru empat kali turun ke laut bulan ini. Ikan sangat kurang, inilah situasi yang kami perlu tanggung apabila musim hujan,” katanya.

Peniaga ikan, Saidi Ishak, 40, berkata, dia hanya berniaga 20kg ikan temenung berbanding 60kg ikan itu sebelum ini.

Minggu lalu dia cuti seminggu kerana tiada bekalan ikan.

“Ikan yang didaratkan nelayan juga kecil. Ikan temenung saya jual dengan harga RM10 sekilogram.

“Jika banyak sebelum ini saya jual dengan harga RM4 sekilogram bagi saiz kecil ikan kembung.

“Esok lusa saya tak tahu berniaga atau tidak, saya juga terjejas dengan keadaan cuaca sekarang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 5:45 AM