DADANG melakukan terjunan di Taman Ekstrem Gua Damai, Batu Caves.
DADANG melakukan terjunan di Taman Ekstrem Gua Damai, Batu Caves.
Faliq Lajim


GOMBAK: Lelaki warga Indonesia sanggup berulang-alik dari Bandung ke negara ini demi minatnya dalam sukan ekstrim base jump.

Dadang Hasanudin, 55, antara peserta Gua Damai International Base Jump 2019 yang melakukan terjunan di Taman Ekstrem Gua Damai, Batu Caves, semalam.

Menurutnya, dia baru menceburi sukan terbabit sejak dua tahun lalu dan mendapat pendidikan terjun bukit di Gua Damai di negara ini.

“Selepas bersara sebagai pegawai geologi, saya mencari sesuatu yang baru sebelum diperkenalkan dengan sukan ini oleh rakan saya.

“Di Indonesia, sukan base jump tidak dibenarkan walaupun banyak lokasi bukit yang boleh membuat terjunan, jadi saya terpaksa berulang-alik dari Bandung ke Malaysia demi minat saya.

“Setakat ini, saya sudah 41 kali membuat terjunan di lokasi di Malaysia seperti Alor Star dan juga Melaka,” katanya kepada Harian Metro.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari.

DADANG
DADANG

Dalam pada itu, peserta dari Malaysia yang juga pegawai eksekutif sebuah syarikat di elektronik, Mohd Nor Feirkhan Razali, 42, berkata, dia mula menceburi sukan terbabit sejak tahun 2015.

“Saya datang daripada keluarga komando 69. Apabila lihat mereka guna payung terjun jadi saya pun teringin namun tiada peluang untuk berbuat demikian.

“Jadi, apabila sukan ini diperkenalkan di sini saya terus sertai walaupun terpaksa berulang-alik dari Ipoh ke sini setiap bulan.

“Memang agak mencabar, namun kita perlu yakin dengan diri sendiri. Risiko memang ada dan itu adalah salah satu cabaran dalam sukan ekstrim ini,” katanya.

Sementara itu, Amirudin berkata, selain penyertaan rakyat Malaysia, program tahunan kali ke-12 itu turut berjaya menarik penyertaan peserta dari luar negara termasuk Amerika Syarikat, Australia, Estonia, Poland, Holland, dan Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 5:50 AM