GAMBAR hiasan. Arkib NSTP.
GAMBAR hiasan. Arkib NSTP.
Siti A’isyah Sukaimi


TINGKAH laku bunuh diri dalam kalangan remaja di Malaysia menunjukkan peningkatan seperti dilapor Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (KKMK).

Malah, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut merekodkan bunuh diri sebagai 10 penyebab kematian di dunia.

Katanya, bunuh diri juga dua penyebab kematian dunia bagi mereka yang berusia 15 hingga 29 tahun, manakala di Malaysia, remaja berusia 13 hingga 17 tahun mempunyai keinginan membunuh diri 10 peratus lebih tinggi berbanding, 7.9 peratus pada 2012.

“KKMK pada 2017 juga merekodkan perancangan untuk bunuh diri adalah 7.3 peratus lebih tinggi berbanding 6.4 peratus pada 2012, manakala cubaan bunuh diri adalah 6.9 peratus.

“Bagi setiap nyawa yang terkorban, dianggarkan 20 ahli keluarga atau rakan akan mengalami impak secara emosi, sosial dan ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia yang bertemakan ‘Bersama Mencegah Bunuh Diri’, berharap semua agensi kerajaan dan bukan kerajaan bersama-sama mengambil tanggungjawab untuk mencari penyelesaian bagi menangani isu tingkah laku bunuh diri.

Katanya, memandangkan faktor menyumbang kepada tingkah laku bunuh diri di luar jangkauan kesihatan, sokongan semua pihak perlu untuk membantu mencegahnya terutama apabila mangsa mempunyai krisis emosi, tanda kemurungan atau berniat untuk membunuh diri.

“Langkah boleh diambil ialah mengambil serius mengenai masalah mereka, mengambil masa untuk mendengar keluhan serta mengambil berat dan memberikan sokongan sosial.

“Sekiranya keadaan tidak bertambah baik, bantu mereka mendapatkan rawatan pakar atau hubungkan mereka dengan perkhidmatan yang sedia ada.

“Kementerian Kesihatan menyediakan perkhidmatan saringan dan rawatan bagi masalah kesihatan mental di 60 hospital kerajaan, 1001 klinik kesihatan di peringkat kesihatan primer dan 25 Pusat Komuniti Kesihatan Mental (MENTARI),” katanya.

Individu yang mempunyai masalah kesihatan mental boleh juga mendapatkan bantuan melalui talian bebas tol 24 jam 03-79568145 dikendalikan NGO The Befrienders.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 3:05 PM