Dr Md Farid beramah mesra kanak-kanak Tabika Perpaduan Meranti 2 selepas merasmikan PRT Kampung Meranti. FOTO Syamsi Suhaimi
Dr Md Farid beramah mesra kanak-kanak Tabika Perpaduan Meranti 2 selepas merasmikan PRT Kampung Meranti. FOTO Syamsi Suhaimi
BERNAMA

GOLONGAN lelaki kurang berminat menjadi tenaga pengajar di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Perpaduan menyebabkan kerjaya itu dilihat seolah-olah hanya khusus untuk wanita.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Md Farid Md Rafik berkata, pihaknya sedia membuka ruang kepada lelaki untuk menjadi sebahagian tenaga pengajar di Tabika Perpaduan dengan syarat mempunyai kelayakan dalam bidang pendidikan kanak-kanak.

“Sekarang ini majoriti guru adalah wanita, mungkin disebabkan kebolehan mereka untuk mengendalikan kanak-kanak dan berinteraksi dengan kanak-kanak yang berusia empat hingga enam tahun.

“Rasanya tidak menjadi halangan jika golongan lelaki berminat dan ada kebolehan mengendalikan kanak-kanak di Tabika Perpaduan, tiada masalah mengenai perjawatan itu kerana kita buka berdasarkan permohonan,” katanya ditemui selepas merasmikan Pusat Rukun Tetangga (PRT) Kampung Meranti di Pasir Mas hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihaknya kini mempertingkatkan usaha bagi menarik minat golongan bukan Melayu untuk terbabit dengan Tabika Perpaduan sama ada sebagai tenaga pengajar mahupun menghantar anak-anak ke tabika itu.

Katanya, antara perkara yang perlu diperbaiki termasuklah menyediakan fasiliti yang lebih selamat dan selesa bagi menarik minat mereka kerana sukatan pelajaran hampir sama dengan tabika lain.

“Guru di Tabika Perpaduan menyediakan kanak-kanak ke arah alam persekolahan dan membiasakan mereka untuk bercampur dengan rakan-rakan daripada pelbagai kaum.

“Kami memohon peruntukan tambahan RM14 juta bagi memperbaiki dan menaik taraf 1,781 Tabika Perpaduan seluruh negara untuk memberikan keselesaan kepada kanak-kanak kerana kami tahu tenaga pengajar di situ mempunyai kelulusan berkaitan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 6:44 PM