Siraj menunjukkan laman sesawang yang menjual data kad kredit atas talian yang berleluasa. FOTO Rosdan Wahid
Siraj menunjukkan laman sesawang yang menjual data kad kredit atas talian yang berleluasa. FOTO Rosdan Wahid
Yusmizal Dolah Aling


WUJUD sindiket antarabangsa menawarkan maklumat kad kredit kepada pengguna untuk membeli aplikasi secara haram.

Tanpa menggunakan Kod Pengesahan Transaksi ( TAC) yang lazimnya digunakan dalam urusan institusi kewangan, urusniaga secara tidak sah itu menyebabkan terdapat lambakan tawaran pelbagai aplikasi atas talian termasuk permainan video.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, pihaknya mengesan kewujudan aktiviti haram berkenaan yang menggunakan laman web terbuka sejak tiga hari lalu.

Katanya, jika sebelum ini kegiatan seperti itu dilakukan menerusi ‘dark web’, sindiket berkenaan kini lebih berani menawarkan pembelian aplikasi menerusi web yang boleh diakses sesiapa saja.

“Apa yang berlaku ialah sindiket ini mencuri maklumat kad milik orang ramai kemudiannya menjualnya di web pada harga murah.

“Sindiket yang menjualnya menggunakan Bitcoin sebagai mata wang untuk berurusan berharga USD3 (RM12) bagi pembelian di luar negara dan USD12 (RM48) untuk tempatan.

“Kerugian yang dilaporkan akibat jenayah siber mencecah RM309.67 juta bagi tempoh dari Januari hingga Julai tahun ini dan penipuan dalam talian dan kes seperti ini adalah sebahagian daripadanya,” katanya hari ini.

Katanya, kecenderungan masyarakat negara ini membeli secara dalam talian menyebabkan mereka cenderung menjadi mangsa sama ada ditipu sindiket atau pun membeli produk menggunakan akaun orang lain tanpa disedari.

Menurutnya, ia adalah trend terkini yang mendapat sambutan kerana pengguna tidak perlu mendapatkan pengesahan berperingkat daripada institusi kewangan seperti mana biasa.

Katanya, ia adalah kegiatan jenayah terancang yang akan menyebabkan kesan kepada pemilik kad dan akaun serta ekonomi negara keseluruhannya.

“Bukan saja individu terbabit yang kehilangan wang akibat jenayah siber, sebaliknya negara turut menanggung kerugian ekonomi.

“Kerugian ini disebabkan jumlah jenayah siber semakin meningkat dan angka ini boleh memberi kesan negatif kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 5:11 PM