Tealive adalah pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang masih sah.
Tealive adalah pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang masih sah.
Mohd Husni Mohd Noor


BAHAGIAN Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan premis makanan jenama Tealive adalah pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang masih sah.

Dalam kenyataan hari ini, Seksyen Komunikasi Korporat, Bahagian Pengurusan Halal JAKIM memaklumkan mesej yang tular menerusi Whatsapp serta diubahsuai oleh pihak tidak bertanggungjawab itu adalah tidak benar.

“Belum pun reda kehangatan tular isu status halal Starbucks Malaysia, kini ia merebak pula ke jenama Tealive sehingga kami menerima pertanyaan bertubi-tubi mengenainya melalui talian telefon, emel dan media sosial termasuk Whatsapp, Facebook Bahagian Hab Halal, JAKIM (http://bit.ly/FBHABHALAL) dan lain-lain.

“Untuk makluman, tular yang diubahsuai oleh pihak tidak bertanggungjawab itu adalah tidak benar.

“Kami menegaskan premis makanan Tealive yang diusahakan syarikat Loob Integrated Sdn Bhd adalah pemegang (SPHM) yang masih sah,” katanya.

Justeru katanya, masyarakat dinasihatkan agar lebih berwaspada sebelum menyebarkan sesuatu maklumat berkaitan isu halal yang tidak diketahui status kebenarannya dengan merujuk pihak berautoriti agar tidak terjebak ke kancah fitnah, salah faham sesama ummah dan menjejaskan keharmonian negara.

Menurutnya, pihaknya juga ingin menasihatkan masyarakat agar menjadi pengguna bijak, bermaklumat dan berakhlak mulia supaya tidak mudah dipengaruhi dengan sebaran palsu sebegini.

“Untuk mengetahui produk dan premis makanan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia, sila layari Portal Halal Malaysia di www.halal.gov.my.

“Semakan juga boleh dilakukan melalui aplikasi telefon pintar Verify Halal,” katanya.

Sebelum ini, tular di Whatsapp mengenai Tealive yang tidak mematuhi piawaian halal JAKIM selepas bahan yang digunakan dalam rangkaian produk minumannya dikatakan dicelup arak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 12:22 PM