GAMBAR hiasan. Laman Web NFCP
GAMBAR hiasan. Laman Web NFCP
Mohd Husni Mohd Noor


SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menegaskan adalah tidak tepat menamakan Opcom Holdings sebagai penerima manfaat terbesar Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, SKMM memaklumkan NFCP terdiri daripada pelbagai projek infrastruktur, termasuk projek-projek komersial yang dibiayai oleh pemegang lesen sendiri malah, projek ini juga akan mempertimbangkan penggunaan teknologi-teknologi yang berbeza.

“Oleh itu, tidak ada satu syarikat khusus yang menyediakan suatu teknologi khusus boleh menjadi penerima manfaat terbesar daripada NFCP.

“Pihak kerajaan mahupun SKMM tidak akan menetapkan penyedia teknologi kerana perkara ini akan diputuskan oleh pihak pemegang lesen. Justeru itu, adalah tidak tepat untuk menamakan OPCOM sebagai penerima manfaat terbesar NFCP,” katanya.

Katanya, pelaksanaan NFCP akan berpandukan kepada dua turus utama iaitu pertama, ia akan membabitkan beberapa siri projek-projek infrastruktur yang akan dibiayai sama ada melalui Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) ataupun secara komersial oleh pemegang lesen Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang berkaitan.

Menurutnya, projek-projek infrastruktur ini akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun ke seluruh negara dan akan mempergunakan pelbagai teknologi yang antara lain merangkumi gentian optik, teknologi tanpa wayar dan satelit.

“Kos keseluruhan sebanyak RM21.6 bilion juga adalah jumlah anggaran. Ia berkemungkinan besar akan berubah apabila NFCP ditambah baik dari semasa ke semasa.

“Namun, keutamaan SKMM adalah untuk memastikan pendekatan yang kos efektif seperti pengoptimuman penggunaan infrastruktur digital yang sedia ada, mengelak duplikasi dan berpandukan kepada polisi-polisi yang memberangsangkan,” katanya.

Bagi turus kedua pula, katanya, ia membabitkan penetapan dasar-dasar yang berkaitan untuk mempermudahkan pelaksanaan infrastruktur di seluruh negara termasuk membabitkan dasar-dasar yang mampu menangani isu-isu yang menghalang pelaksanaan infrastruktur dengan cepat dan pada kos yang efektif.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 6:50 PM