VITAGEN

BILAKAH kali terakhir anda mengembara dan apakah perasaan anda mengenai pengalaman itu?

Sama ada untuk kerja atau melancong, perjalanan atau pengembaraan boleh memenatkan. Ia juga boleh membawa kegelisahan ataupun kegembiraan, tidak kira di mana destinasinya - kawasan bandar metropolitan, desa kecil ataupun hutan terpencil.

Apa yang pasti, badan menghadapi banyak tekanan apabila bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain mengikut jadual perjalanan yang padat dan ini boleh menyebabkan sistem imun, penghadaman dan ritma sirkadian terganggu.

Anda mungkin perlu menghadapi kesesakan lalu lintas, cuaca yang tidak menentu, atau ‘cirit-birit pengembara’ yang pasti akan menjejaskan mood untuk meneruskan perjalanan.

Kalau perjalanan menaiki kapal terbang, kereta api atau bas pula, boleh meningkatkan peluang dijangkiti penyakit kerana terdedah kepada lebih ramai orang yang berkemungkinan membawa penyakit berjangkit seperti flu atau selsema.

Tingkatkan tahap kesihatan

Berikut ialah cara-cara menguatkan sistem imun anda untuk kekal sihat dan mencegah sebarang penyakit:


• Bersedia

Pelajari tentang destinasi anda: Bagaimanakah cuaca di situ? Adakah makanan dan airnya bersih dan selamat? Adakah berlakunya sebarang wabak? Terdapat vaksinasi yang disyorkan jika anda menuju ke negara tertentu, maka pastikan anda mendapatkannya sebelum memulakan perjalanan anda. Jika anda ada keperluan khas (contohnya ibu mengandung, orang kurang upaya, sistem imun yang lemah kerana menghidap penyakit tertentu atau kronik), dapatkan nasihat atau langkah berjaga-jaga daripada doktor anda.

• Penggemar makanan, berhati-hatilah!

Bagi kebanyakan orang, kepelbagaian hidangan makanan tempatan yang menarik pasti ingin dicuba. Rancangkan tempat makan anda dengan makanan yang kurang berminyak, kurang gula atau garam, dan makanlah makanan yang lebih berserat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran. Jika anda mahu mencuba ayam goreng terkenal untuk makan tengahari, pastikan juga anda mengambil buah-buahan tempatan untuk sarapan pagi dan ikan panggang untuk makan malam. Makan dengan terlalu banyak akan memberikan tekanan pada usus anda, jadi anda mestilah makan dengan berhemah.

• Vitamin & mineral

Vitamin C dan B6 adalah baik untuk sistem imun anda dan membantu melawan penyakit. Dapatkan Vitamin C daripada oren, strawberi atau brokoli, dan vitamin B6 daripada salmon, tuna, atau sayuran hijau. Kekurangan mikronutrien (kekurangan vitamin/mineral), boleh menjejaskan sistem imun anda, jadi pastikan ada kepelbagaian dalam pilihan makanan anda dan ia bukan hanya semasa mengembara, tetapi untuk setiap hari. Suplemen multivitamin dan mineral mungkin mudah untuk diambil tetapi rujuk nasihat daripada doktor terlebih dahulu.

• Kekal hidrat

Minumlah banyak air kosong dan kekal hidrat sepanjang masa, terutamanya jika anda akan mengembara ke destinasi yang bercuaca panas. Mungkin sukar untuk mencari tandas tetapi itu lebih baik daripada badan anda mengalami masalah dehidrasi. Pilih air mineral dalam botol sebagai minuman anda.

• Tidur mencukupi

Jangan terlalu letih sebelum pengembaraan anda bermula. Badan anda memerlukan rehat yang secukupnya untuk menghadapi pengembaraan yang mungkin akan memenatkan. Semak rancangan anda dan pastikan anda mendapatkan masa tidur yang mencukupi. Tidur adalah rehat yang paling bagus untuk anda!

• Beri masa kepada diri sendiri

Semasa merancang perjalanan, berikan masa secukupnya untuk diri anda berehat. Jangan padatkan jadual anda dengan terlalu banyak aktiviti atau lokasi yang hendak dituju. Dengan cara ini, anda akan dapat menikmati dan mengenali lokasi percutian itu dengan lebih baik. Kajian juga menunjukkan tekanan emosi boleh menjejaskan sistem penghadaman dan sistem imun seseorang.

Usus sihat, pengembara gembira

Satu daripada organ yang kerap meragam ketika pengembaraan ialah usus. Kebanyakan daripada kita pernah melalui pengalaman yang tidak selesa apabila terpaksa berulang-alik ke tandas selepas ‘tersalah makan’. Usus adalah organ yang berperanan penting dalam sistem imun.

Usus yang sihat mengandungi lebih kandungan bakteria baik berbanding bakteria jahat. Untuk mengekalkan keseimbangan bakteria di dalam usus, pengambilan makanan yang kaya dengan bakteria baik atau probiotik adalah penting sepanjang masa.

Penyelidikan yang dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) menunjukkan pengambilan probiotik L acidophilus dan L paracasei dalam minuman susu berkultur berpotensi memberi kebaikan kepada sistem imun, di samping mengurangkan simptom sembelit yang boleh berlaku kepada sesetengah orang akibat perubahan diet semasa mengembara.

Anda juga digalakkan untuk makan makanan yang dimasak dan dihidangkan panas. Buah dan sayuran mentah mesti dibasuh dengan air bersih yang mengalir atau dibuang kulitnya sebelum makan. Elakkan minuman berais kerana ketulan ais mungkin diperbuat daripada air yang tidak bersih.

Berhati-hati dengan pengambilan makanan dan minuman semasa mengembara, kenali usus dan perut anda. Jika usus dan perut anda tidak boleh menerima makanan tertentu, elakkan daripada memakannya.

Terdapat banyak petua untuk membantu mengekalkan kecergasan dan kesihatan semasa mengembara mahupun tidak tetapi aspek yang paling penting adalah mengamalkan gaya hidup sihat iaitu diet seimbang, kerap bersenam dan tidur yang cukup.

Menjaga kebersihan diri juga penting untuk mencegah sebarang penyakit. Ingat, pengembaraan yang bermakna bermula dengan pengembara yang sihat.

Artikel ini ihsan daripada DHM dan Program Penghadaman Sihat VITAGEN, sempena kempen kesedaran Hari Kesihatan Penghadaman Sedunia 2019. Profesor Dr Raja Affendi Raja Ali ialah seorang Pakar Perunding Perubatan Gastroenterologi dan Naib Pengerusi DHM. Beliau tidak ada kaitan dengan, dan tidak menyokong sebarang jenama atau produk. Untuk maklumat lanjut, hubungi 03-56323301

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 6:00 PM