MOHAMAD Amir (kanan) memeriksa kereta diubah suai untuk seludup minyak di stor simpanan Kampung Kolam, Padang Besar. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman.
MOHAMAD Amir (kanan) memeriksa kereta diubah suai untuk seludup minyak di stor simpanan Kampung Kolam, Padang Besar. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


DUA stor dipercayai dijadikan tempat simpan petrol dan diesel sebelum diseludup ke negara jiran, diserbu hari ini.

Stor terletak di Kampung Kolam, Padang Besar itu diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis pada 6.30 pagi.

Ketua Pegawai Penguatkuasaannya, Mohamad Amir Abdullah berkata, serbuan itu membolehkan 3,985 liter petrol dan 90 liter diesel dirampas termasuk empat kereta yang siap diubah suai dianggarkan bernilai RM73,371.

Katanya, pihaknya juga menahan dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 30 hingga 50 tahun untuk membantu siasatan.

“Kumpulan ini antara sindiket yang dikehendaki kerana aktif menyeludup bahan bakar ke Thailand dengan bekalan diperoleh di sekitar Padang Besar.

“Anggota kumpulan dipercayai melakukan sekurang-kurangnya 12 ‘trip’, sehari untuk mengisi petrol di empat stesen minyak berhampiran pintu sempadan.

“Pihak kami percaya mereka berjaya mengumpul kira-kira 1000 liter petrol sehari dan bekalan akan dibawa ke stor berkenaan sebelum diagihkan kepada pembeli, terdiri daripada warga Thailand,” katanya pada sidang media, hari ini.

Mohamad Amir berkata, soal siasat awal, suspek mengaku membawa kenderaan yang diubah suai secara bergilir-gilir bagi mengelak kakitangan stesen minyak curiga.

Katanya lagi, sindiket itu memperoleh untung 50 sen bagi setiap liter yang dijual dan bekalan mendapat permintaan kerana harga petrol di negara jiran yang mahal.

“Kes disiasat mengikut Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan kesemua suspek akan dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah penahanan reman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 4:00 PM