FOTO Hiasan. FOTO Luqman Hakim Zubir
FOTO Hiasan. FOTO Luqman Hakim Zubir
Norizuan Shamsuddin


JURUANDAM didenda RM2,600 oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu hari ini kerana tidak solat Jumaat, April lalu.

Malah tertuduh yang berusia 36 tahun itu turut berdepan dua bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Syarie Mohd Fakhruddin Yusof membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku salah atas pertuduhan di bawah Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) pindaan 2016 kerana tidak menunaikan solat Jumaat.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tidak menunaikan solat Jumaat ketika ditangkap di sebuah rumah di Jalan Sultan Sulaiman di sini, antara 12.30 tengah hari hingga selesai solat Jumaat, 26 April lalu.

Tertuduh boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun, jika disabitkan kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditangkap Penguat kuasa Syariah yang melakukan pemantauan di lokasi itu selepas menerima maklumat berhubung individu yang melakukan kesalahan tidak menunaikan solat Jumaat.

Sepanjang pemantauan bermula 12.30 tengah hari hingga 2.04 petang, Pegawai Penguat kuasa Syariah wanita mendapati penghuni kediaman tidak keluar untuk menunaikan solat Jumaat.

Susulan itu, pegawai penguat kuasa menyerbu kediaman terbabit untuk pemeriksaan selepas selesai solat Jumaat dan mendapati pintu utama rumah berkunci dari dalam.

Selepas penguat kuasa memberi salam pintu kediaman itu dibuka tertuduh.

Siasatan mendapati lelaki itu seorang yang mukallaf dan tiada sebarang alasan diharuskan oleh hukum syarak untuk tidak menunaikan sembahyang Jumaat pada hari berkenaan.

Susulan itu, lelaki terbabit dibawa ke Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, dalam mahkamah sama empat lagi lelaki berusia antara 30 hingga 45 tahun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas pertuduhan sama.

Mahkamah menetapkan 23 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan mereka dibebaskan dengan jaminan RM1,500 bersama seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Mohd Abdullah manakala mereka tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Ogos 2019 @ 3:48 PM