ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran di kawasan itu, semalam. FOTO Mohd Azren Jamaludin.
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran di kawasan itu, semalam. FOTO Mohd Azren Jamaludin.
Izlaily Nurul Ain Hussein


DUA sekolah yang ditutup berikutan kebakaran hutan di Jalan Tanjung Kupang, Kampung Pekajang, Gelang Patah akan beroperasi seperti biasa, esok.

Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Adang ditutup dua hari pada semalam dan hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan (Pengurusan Sekolah) Johor, Ab Rahim Lamin berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti laporan pemantauan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) tengah hari ini.

“Tiada kepulan asap dikesan dibawa ke kawasan sekolah. Angin bertiup ke arah bertentangan dengan sekolah. Pembakaran di tepi kawasan sekolah juga sudah dapat dikawal bomba.

“Kita beranggapan keadaan bertambah baik dan sekolah akan dibuka seperti biasa (esok),” katanya dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, Ab Rahim menasihati ibu bapa atau penjaga, guru dan kakitangan sekolah supaya mengambil langkah berjaga-jaga seperti memakai topeng penutup hidung dan mulut yang dibekalkan.

“Kepada pelajar dan murid yang menghidap asma dibenarkan untuk tidak hadir ke sekolah,” katanya.

Pada masa sama, Ab Rahim turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor serta agensi terbabit secara langsung dan tidak langsung dengan operasi pemadaman hutan berkenaan.

Semalam, Jabatan Pendidikan Johor dilapor mengarahkan dua sekolah itu ditutup berikutan jarak begitu hampir dengan lokasi kebakaran hutan berkenaan.

Berita berkaitan:

  • Dua sekolah ditutup dua hari [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 8:11 PM