WARGA kerja PKNS bergotong-royong baik pulih Rumah Asnaf Fakir Miskin Daerah Kuala Langat di Jalan Pulai Kanchong Darat. -Foto SADDAM YUSOFF.
WARGA kerja PKNS bergotong-royong baik pulih Rumah Asnaf Fakir Miskin Daerah Kuala Langat di Jalan Pulai Kanchong Darat. -Foto SADDAM YUSOFF.
Ruwaida Md Zain


RIAK wajah gembira jelas terpancar di wajah seorang ibu tunggal selepas Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memberi bantuan menukar bumbung rumahnya yang uzur di Kanchong Darat di sini, semalam.

Siti Zaleha Darini, 57, bersyukur selepas terpilih menerima bantuan PKNS dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS).

“Alhamdulillah, terima kasih semua yang bergotong-royong baik pulih bumbung rumah dan kini saya tidak perlu bimbang lagi.

“Jika sebelum ini tidak senang hati bila memikirkan bumbung bocor. Besen ditadah merata tempat dalam rumah bila hujan, ada bumbung terbang malah ada juga tercabut,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Siti Zaleha antara 16 asnaf fakir/miskin daerah Kuala Langat yang menerima sumbangan baik pulih rumah oleh PKNS dengan jumlah keseluruhan RM400,000.

Program Gotong-Royong Baik Pulih Rumah Daerah Kuala Langat itu disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain.

Pada majlis sama, Mohd Azizi menyerahkan sumbangan wakalah agihan wang zakat PKNS bernilai RM400,000 kepada LZS yang diterima Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Mat Yusop.

Sementara itu, Mohd Azizi berkata, sumbangan itu adalah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi jenama KASIH PKNS.

Katanya, semua penerima bantuan asnaf berdaftar dengan LZS dan program kali ini berbeza dengan CSR sebelum ini apabila hanya sumbangan kewangan disalurkan PKNS.

“Kali ini, PKNS mengambil inisiatif membabitkan warga kerja terdiri daripada tujuh persatuan dalaman di PKNS bergotong-royong membaik pulih dan membersihkan kawasan kediaman penerima,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 5:20 AM