Sebahagian rokok seludup di stor yang diserbu polis di Kajang (kiri) dan dua lelaki mengangkat kotak berisi barangan lari cukai di Jalan Sikuati, Kudat. Foto Ihsan PDRM
Sebahagian rokok seludup di stor yang diserbu polis di Kajang (kiri) dan dua lelaki mengangkat kotak berisi barangan lari cukai di Jalan Sikuati, Kudat. Foto Ihsan PDRM
Mohd Azam Shah Yaacob


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) berjaya merampas 28,870 karton rokok seludup yang dianggarkan bernilai lebih RM4.3 juta selepas menggempur sebuah stor di Kajang pada Rabu lalu.

Rokok berkenaan dipercayai milik satu sindiket pengedaran rokok seludup yang bergiat aktif sekitar Lembah Klang.

Operasi Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas Pasukan Gerakan Khas (PGK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman itu juga berjaya menahan tujuh lelaki tempatan disyaki ahli sindiket berkenaan.

Pengarah JKDNKA Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, tujuh lelaki berusia 39 tahun hingga 61 tahun itu direman selama enam hari bermula Khamis hingga Selasa ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, dua daripada suspek berkenaan turut memiliki beberapa rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas empat lori serta tiga kereta jenis Mercedes Benz E200, Proton Waja dan Toyota Vios menjadikan keseluruhan nilai rampasan mencecah lebih RM4.6 juta,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sementara itu, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya merampas 8,720 bungkus rokok putih, 2,928 tin minuman keras dan wang tunai RM18,000 daripada dua lelaki tempatan dalam Op Landai Khas di Kampung Pinawantai Matunggong dekat Kudat pada Selasa lalu.

Menurutnya Acryl Sani, dua lelaki berusia 31 tahun dan 44 tahun ditahan selepas polis menemui barangan lari cukai dalam pacuan empat roda dinaiki.

“Sebanyak 590 bungkus rokok putih dan 696 tin minuman keras ditemui dalam kenderaan berkenaan.

“Susulan itu, polis kemudiannya menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Sikuati, Kudat dan menemui 8,130 bungkus lagi rokok putih, 2,232 tin minuman keras dan wang tunai sebanyak RM18,000.

“Nilai keseluruhan rampas dianggarkan berjumlah lebih RM500,000 dan suspek ditahan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 12:46 AM