Nor Azlina menjaga Nur Umairah Damia di HUSM, Kubang Kerian. FOTO Syaherah Mustafa
Nor Azlina menjaga Nur Umairah Damia di HUSM, Kubang Kerian. FOTO Syaherah Mustafa
Syaherah Mustafa


BERAT mata memandang berat lagi bahu memikul.

Begitulah gambaran kecekalan kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang bergantung dengan ubat bagi melawan kanser darah dihidapinya.

Nur Umairah Damia Mohd Noor Harsli, dilihat begitu matang berbanding usianya malah tidak pernah mengeluh untuk mengambil lebih lima jenis ubat setiap hari, biarpun ia pahit bagi memastikan badannya sentiasa sihat dan kuat.

Dia yang petah berkata-kata dan murah dengan senyuman itu ada masanya hanya mampu terbaring lemah di katil kerana perlu menjalani rawatan kemoterapi sebulan sekali di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kota Bharu.

Ibunya, Nor Azlina Bachik Kasim, 37, berkata, anak bongsu daripada empat adik beradik itu disahkan menghidap kanser darah sejak berusia dua tahun selepas dia diserang demam kerap dan tidak mampu berjalan selama enam bulan.

“Malah pada Mac tahun lalu, Nur Umairah melalui fasa sakit yang agak kritikal seperti tiada harapan hidup namun dengan semangatnya melawan sakit termasuk sokongan keluarga serta rawatan terbaik doktor, anak saya mampu bertahan sehingga hari ini dan keadaannya semakin baik.

“Dia anak yang bijak, malah sangat peramah dan bercakap dengan sesiapa saja yang menegurnya ketika di wad selain mengingati setiap nama doktor yang merawatnya.

“Telatah dan senyumannya setiap hari meredakan kerisauan saya apabila memikirkan sakit yang ditanggungnya,” katanya ketika ditemui di Wad 6 Utara, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian semalam.

Nor Azlina berkata, suaminya, Mohd Noor Harsli Ramli, 48, yang bekerja sebagai mekanik kapal pernah hilang punca pendapatan selama beberapa bulan kerana mengambil cuti untuk menjaga anak mereka itu tetapi sudah kini kembali bekerja.

Katanya, dia lebih banyak menguruskan anaknya sendirian memandangkan suami hanya pulang dua atau tiga bulan sekali demi mencari rezeki buat mereka sekeluarga.

“Alhamdulillah, Nur Umairah tidak banyak ragam dan memudahkan kerja saya.

“Selain suka ajak berborak, dia begitu minat mewarna malah boleh menghabiskan masa lama melakukan aktiviti itu.

“Pergaulannya perlu dihadkan dan tidak boleh aktif seperti anak-anak seusianya kerana antibodinya lemah dan mudah berjangkit jika selesema atau demam.

“Saya berharap dia kembali pulih dan menjalani hidup seperti kanak-kanak lain kerana saya juga mahu dia menjadi anak berjaya dan boleh menguruskan diri jika saya sudah tiada kelak,” katanya yang tinggal di Kampung Seterpa Tengah, Bukit Marak di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 12:23 PM