KECEDERAAN pada kepala mangsa. FOTO Ihsan Pembaca
KECEDERAAN pada kepala mangsa. FOTO Ihsan Pembaca
Muhaamad Hafis Nawawi


HANYA kerana tidak dapat membayar hutang RM300, lelaki cedera di kepala dan telinga selepas ditetak rakannya di Jalan Changkat Thambi Dollah, Kuala Lumpur, kelmarin.

Dalam kejadian 1 pagi itu, mangsa berusia 47 tahun sedang mengemas gerai menjual buah durian untuk pulang ke rumah sebelum didatangi rakan lelaki berusia 40-an meminta dia menjelaskan wang itu.

Lelaki yang hanya ingin dikenali sebagai Siew itu berkata, dia bagaimanapun meminta untuk menangguh pembayaran itu dan tiba-tiba, lelaki itu mengamuk dan terus mengambil pisau pemotong durian yang ada di atas meja dan menyerangnya.

“Saya cuba mengelak namun terkena di kepala dan telinga sebelum dia terus beredar.

“Akibat kejadian itu, saya mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan menerima 11 jahitan di kepala dan 13 jahitan di telinga kiri,” katanya yang sudah membuat laporan polis.

Menurutnya, dia meminjam wang itu dua minggu lalu bagi menjelaskan hutang lain, namun tidak memberitahu bila akan membayarnya semula.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visunathan Abdullah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek datang bertemu mangsa untuk meminta wangnya sebanyak RM300 namun lelaki terbabit meminta tangguh ke minggu depan.

“Selepas itu terus berlaku pertengkaran sebelum suspek mengambil pisau itu dan cuba menetaknya namun dielak mangsa sebelum terkena di kepala.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 4:44 PM