DUA lelaki ditahan selepas disyaki bermain judi atas talian di tempat awam. FOTO IHSAN PDRM
DUA lelaki ditahan selepas disyaki bermain judi atas talian di tempat awam. FOTO IHSAN PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


TINDAKAN seorang lelaki leka bermain judi dalam talian menggunakan telefon bimbit di sebuah restoran di Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur, mengundang padah apabila ditahan polis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras yang menerima maklumat berhubung kegiatan suspek berusia 47 tahun bertindak menahannya jam 2 pagi.

Katanya, ketika ditahan suspek sedang leka bermain judi dalam talian menggunakan telefon bimbit di restoran berkenaan.

“Kita kemudian merampas telefon bimbit manakala suspek dibawa ke IPD Cheras untuk tindakan selanjutnya.

“Ujian saringan air kencing pula mendapati suspek negatif dadah,” katanya.

Mokhsein berkata, suspek direman dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Sementara itu, seorang lelaki warga Indonesia berusia 38 tahun turut ditahan kerana bermain judi dalam talian di sebuah restoran di Taman Maluri, Cheras, jam 10 malam pada Sabtu lalu.

“Suspek yang sedang leka bermain ditahan bersama telefon bimbit digunakan untuk berjudi,” katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati dia tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

“Suspek direman 14 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Sindiket perjudian sekarang mencari pelbagai helah untuk berjudi, malah trend sekarang asal ada internet mereka sudah boleh berjudi tidak kira tempat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 8:08 PM