Khairul Najib Asarulah Khan


LEMBU dipercayai untuk dikorbankan esok terlepas ke laluan Jalan Kuching menuju Rawang berdekatan Pasar Borong Selayang, Gombak, mencuit hati netizen selepas video terbabit tular di Facebook (FB) hari ini.

Rata-rata mereka mengaitkan lembu itu mahu menyelamatkan diri daripada menjadi korban sempena Aidiladha.

Menerusi dua video yang berdurasi 13 saat dan 19 saat itu kelihatan pengguna jalan berkenaan cuba membantu menangkap lembu terbabit namun gagal.

Saksi, Muhammad Fahmi Alfian, 25, berkata, kejadian itu berlaku jam 11 pagi tadi.

Menurutnya, ketika itu dia dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ingin menuju Selayang untuk pulang ke kampungnya.

“Ketika melalui jalan itu, saya mendapati ia sesak. Pada mulanya saya ingatkan kesesakan disebabkan banyak kenderaan rupanya terdapat lembu yang lari.

“Saya percaya lembu itu untuk dikorbankan kerana terdapat tali terikat di leher haiwan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhammad Fahmi berkata, dia difahamkan, lembu itu terlepas dari Batu Caves sebelum memasuki Lebuh raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan ke laluan berkenaan.

“Lembu itu nampak licik kerana ramai pengguna jalan ini cuba menangkapnya namun haiwan itu masih berjaya mengelak.

“Saya tidak pasti akhirnya mereka berjaya menangkap atau tidak lembu berkenaan ,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Fahmi yang merakam video terbabit tular di laman sosial selepas dimuat naik di FB miliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 2:22 PM
RAKAMAN lembu yang terlepas ke Jalan Kuching. FOTO ihsan Muhammad Fahmi Alfian
RAKAMAN lembu yang terlepas ke Jalan Kuching. FOTO ihsan Muhammad Fahmi Alfian