MOHD Rosli  (dua dari kanan) bersama ahli kariah memasang Jalur Gemilang di pekarangan Masjid Kariah Desa Anggerik.
MOHD Rosli (dua dari kanan) bersama ahli kariah memasang Jalur Gemilang di pekarangan Masjid Kariah Desa Anggerik.
Amran Yahya


KUALA PILAH: Bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kemerdekaan, Masjid Kariah Desa Anggerik di sini, memasang 120 Jalur Gemilang di perkarangan masjid berkenaan.

Pengibaran Jalur Gemilang itu pasti menceriakan lagi kawasan masjid berkenaan.

Pengerusinya, Mohd Rosli Ibrahim berkata, bendera pelbagai saiz itu menghiasi sekeliling pagar masjid dan akan dipasang sehingga sambutan hari Malaysia pada 16 September depan.

“Memang setiap tahun masjid ini tidak ketinggalan menyahut seruan kerajaan untuk mengibarkan Jalur Gemilang. Bendera berkenaan ada yang pernah digunakan sebelum ini dan juga yang baharu.

“Ini kerana setiap kali selesai acara, kami akan simpan sebaik mungkin bagi memastikan ia dapat digunakan kembali pada tahun berikutnya.

“Kami berterima kasih kepada kariah masjid, Mohd Ariffin Abu Bakar, Mohd Zakim Mohd Nor dan Muhamad Zaid Panak yang membantu memasang Jalur Gemilang ini,” katanya semalam.

Mohd Rosli yang juga imam satu masjid itu berkata, Masjid Kariah Desa Anggerik menjadi tempat persinggahan kepada pengguna jalan raya sama ada dari Lembah Klang ke Pantai Timur atau sebaliknya.

“Suasana juga pasti bertambah ceria ketika perkarangan masjid dipenuhi jemaah yang bersama-sama menunaikan solat sunat Aidiladha,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 5:31 AM