PESAKIT mempunyai hak untuk meminta slip preskripsi daripada doktor. FOTO Arkib NSTP.
PESAKIT mempunyai hak untuk meminta slip preskripsi daripada doktor. FOTO Arkib NSTP.
Noor Atiqah Sulaiman


PESAKIT boleh membuat aduan di Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta, Bahagian Amalan Perubatan (CKAPS) sekiranya doktor gagal memberikan slip preskripsi seperti diminta.

Slip preskripsi ialah arahan bertulis dibuat pengamal perubatan yang mengesahkan seseorang pesakit layak dibekalkan ubatan atau rawatan tertentu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perkara itu termaktub dalam mekanisme ketidakpuasan hati pesakit di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Akta 586).

Katanya, melalui aduan berkenaan, doktor yang tidak memberikan slip preskripsi itu boleh diambil tindakan.

“Ahli farmasi mahu kerajaan menjadikan pemberian slip preskripsi itu secara mandatori walaupun ia tidak diminta oleh pesakit.

“Kalau mengikut dasar sedia ada, pesakit perlu meminta slip itu daripada doktor. Namun ada antara doktor tidak memberikannya dan pesakit boleh membuat aduan.

“Saya juga membuat perjanjian, sebaik sahaja isu ini dapat ditangani, kita akan kuat kuasakan mandatori preskripsi di mana doktor perlu memberikan slip berkenaan walaupun tidak diminta oleh pesakit,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi Townhall bersama Persatuan Farmasi di Putrajaya, hari ini.

Tambah Dzulkefly, pihaknya tahu perkara itu bukanlah sesuatu yang mudah namun, tetap berusaha ke arah berkenaan.

“Saya tahu dan mereka juga tahu (ahli farmasi dan doktor) bahawa ia bukanlah sesuatu perkara yang mudah.

“Namun jika doktor dan ahli farmasi ini meletakkan kepentingan pesakit di peringkat tertinggi, saya yakin kita dapat selesaikan masalah ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 9:01 PM