Mohd Liza Azmie (dua dari kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Pilah. FOTO Amran Yahya
Mohd Liza Azmie (dua dari kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Pilah. FOTO Amran Yahya
Raja Noraina Raja Rahim dan Amran Yahya


LELAKI mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah hari ini atas dua pertuduhan menerima deposit tanpa lesen dan menyalahgunakan wang untuk pelaburan tidak wujud berjumlah RM410,000 empat tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Liza Azmie Md Darus, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima deposit daripada Muhamad Adyab Mahadi, 60, berjumlah RM410,000 sebagai pelaburan tanpa lesen mengikut Seksyen (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah bank di Bahau antara 11 Februari sehingga 27 Mac 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda maksimum RM50 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa menyalahgunakan wang milik Muhamad Adyab untuk melabur dalam skim pelaburan yang tidak wujud.

Kesalahan itu dilakukan di tempat dan masa sama.

Bagi kesalahan berkenaan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara enam bulan sehingga lima tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Muhaimin Mohd Azman manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Zali Shaari.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dan menetapkan sebutan semula kes 5 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 6:13 PM