Rizanizam Abdul Hamid


TIADA pergaduhan atau bantahan ketika perbincangan mesyuarat cadangan pembinaan surau Taman Sutera Wangi Batu Berendam di Jawatankuasa dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Keroh seperti ditularkan media sosial semalam.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Md Azhan Samad sebaliknya berkata, apa yang berlaku adalah perbincangan hangat dan tidak menjejaskan keharmonian kaum di negara ini.

“Ia cuma perbincangan hangat, nak kata kritikal sampai bergaduh itu tidak sama sekali.

“Saya percaya kadang-kadang isu sebegini masyarakat ada pandangan masing-masing.

“Bila ada dua pandangan dan tak boleh pula kawal perasaan...tapi itu (bantahan) tiada, hanya perbincangan biasa dan tidaklah kritikal sehingga boleh jejaskan perpaduan kaum,” katanya.

Suasana mesyuarat di JAPERUN Ayer Keroh malam tadi. Gambar kecil Md Azhan. FOTO Rasul Azli Samad dan Ihsan Pembaca
Suasana mesyuarat di JAPERUN Ayer Keroh malam tadi. Gambar kecil Md Azhan. FOTO Rasul Azli Samad dan Ihsan Pembaca

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program #kongsirezekiAidiladha untuk keperluan pelajar asnaf anjuran JAIM di Masjid Al Azim hari ini.

Sejak malam tadi, media sosial ditularkan dengan beberapa gambar mengenai mesyuarat bantahan pembinaan surau Taman Sutera Wangi dengan keterangan berbaur provokasi.

Mengulas lanjut Md Azhan berharap masyarakat dapat segera menghentikan penularan maklumat tidak tepat itu yang hanya mengeruhkan lagi keadaan.

“Biarlah kita berbincang dengan cara dewasa, matang dan berhemah bukannya menyebarkan maklumat yang mungkin ditokok tambah.

“Ada segelintir orang dia memang suka menangguk di air keruh atau mengambil kesempatan jadi eloklah kita berhenti setakat itu saja,” katanya.

Sementara itu, program berkenaan pertama kali diadakan JAIM dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan QSR Brands (M) Holdings Bhd.

Pada program itu, QSR Brands menyampaikan sumbangan RM180 merangkumi peralatan kelengkapan persekolahan bernilai RM150 selain duit raya RM30.

Semua 30 penerima sumbangan terdiri daripada 30 pelajar asnaf berusia antara lapan hingga 17 tahun itu turut menerima sumbangan duit raya RM50 seorang daripada YADIM.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 1:28 PM