Muhamaad Razis Ismail


DUA lelaki sanggup menggunakan laluan lebih jauh dengan menjadikan laluan Kuala Krai sebagai transit untuk membawa masuk bekalan daun ketum ke Kelantan.

Dari Sik, Kedah, mereka berusia 20 hingga 30 tahun menggunakan lori mengangkut barang melalui laluan Simpang Pulai, Perak ke Gua Musang dan masuk ke daerah itu untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

Kebiasaannya, bekalan daun ketum dibawa masuk ke negeri itu melalui laluan Jeli.

Taktik itu berjaya dihidu apabila mereka ditahan polis di Laloh, Kuala Krai, 8.15 pagi kelmarin bersama lebih 2,015 kilogram daun ketum bernilai RM60,000.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Wan Fauzi Wan Ishak berkata, terdahulu dua anggota sedang membuat rondaan sebelum menerima maklumat awal terdapat sebuah lori membawa muatan barang salah di kawasan itu.

Katanya, anggota itu kemudian meminta bantuan rakan setugas sebelum lori itu ditahan di hadapan sebuah stesen minyak di Laloh untuk pemeriksaan.

“Pemeriksaan lanjut menemui 200 bungkus plastik daun ketum di dalam lori itu.

“Kita menahan pemandu dan kelindan lori untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai hari ini.

Wan Fauzi (tengah) memeriksa daun ketum yang dirampas polis. FOTO Zaman Huri Isa
Wan Fauzi (tengah) memeriksa daun ketum yang dirampas polis. FOTO Zaman Huri Isa

Menurutnya, siasatan awal mendapati daun ketum itu diambil dari Sik, Kedah untuk pasaran di negeri itu.

“Ini rampasan daun ketum terbesar direkodkan polis daerah ini kerana kebiasaannya daun ketum dibawa masuk ke negeri ini melalui laluan Jeli.

“Kita percaya suspek mengubah menggunakan laluan lebih jauh bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Wan Fauzi berkata, suspek ditahan reman empat hari bermula semalam.

“Pemeriksaan lanjut kedua-dua suspek memiliki rekod jenayah termasuk dadah, merusuh dan membuat ugutan jenayah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 12:50 PM