DR Wan Azizah
DR Wan Azizah
Siti A’isyah Sukaimi


PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjelaskan bahawa kaligrafi khat adalah suatu seni dan bukan agama.

Bagimanapun, katanya, beliau mengambil maklum keresahan ditimbulkan masyarakat Tionghua berhubung pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat pada tahun hadapan.

“Memang saya ambil maklum dan saya akan bincang dengan Perdana Menteri walaupun beliau sudah mengeluarkan kenyataan, kita akan bincang dengan lebih mendalam.

“Jadi kita akan berbincang lanjut. Khat ini adalah seni dan bukan agama, jadi saya berpendapat kita perlu berbincang dahulu,” katanya pada sidang media Pelancaran Pertandingan Video Kreatif Kempen Hentikan! Stop It! dan Soal Selidik Mengenai Gangguan Seksual di sini, semalam.

Sabtu lalu Harian Metro melaporkan kerajaan tetap memperkenalkan tulisan khat atau seni kaligrafi dalam kurikulum Tahun Empat Bahasa Melayu untuk sekolah vernakular biarpun ditentang DAP.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, kerajaan percaya kepada dasar kemakmuran bersama kerana turut tidak pernah membantah penggunaan penulisan dalam Bahasa Cina di negara ini.

Sebelum ini, 138 pemimpin akar umbi termasuk 13 anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP menggesa anggota Kabinet daripada parti itu membantah rancangan memperkenalkan tulisan khat atau seni kaligrafi dalam kurikulum Tahun 4 Bahasa Malaysia untuk sekolah vernakular.

Dalam kenyataan bersama, kumpulan itu dipetik berkata, pelajar sekolah vernakular setakat ini sudah mempelajari tiga bahasa dan tiga sistem penulisan.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan sebelum ini menjelaskan, pengenalan tulisan khat adalah untuk memupuk gaya penulisan yang indah dan ia tiada kaitan dengan tulisan Jawi dan pelajar tidak dinilai dalam peperiksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 5:20 AM