Hasbi Sidek


POLIS menolak dakwaan media antarabangsa bahawa remaja warga Ireland yang hilang dari bilik penginapan keluarganya di sebuah resort di Pantai, Seremban, menjadi mangsa culik.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, hasil siasatan di bilik penginapan remaja berkenaan, tiada unsur jenayah ditemui.

“Polis menolak sebarang dakwaan media asing yang mendakwa Nora Anne Quoirin, 15, dilarikan pihak tertentu. Dia dipercayai keluar sendiri melalui tingkap berdasarkan keterangan adik mangsa yang melihat tingkap di bilik mereka terbuka pada pagi hari kejadian.

“Tiada indikator yang menunjukkan sebarang perlakuan jenayah dalam kejadian ini. Ketika ini polis masih mengklasifikasikan kes sebagai orang hilang,” katanya ketika sidang media di Balai Polis Pantai, Seremban malam ini.

Beliau berkata, sehingga jam 7 malam, polis tidak menemui sebarang petunjuk keberadaan remaja berkenaan selepas memperluas kawasan pencarian 8.09 hektar.

“Ops pencarian masih diteruskan malam ini, namun kami mengecilkan keanggotaan dengan melakukan rondaan di sekitar denai di kawasan resort berkenaan.

“Jam 8 pagi esok, operasi akan diteruskan dengan menambah lebih ramai petugas termasuk menggunakan sebuah helikopter dari Pasukan Gerakan Unit Udara (PGUU) Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, polis percaya remaja berkenaan masih berada di lokasi itu dan meminta orang ramai termasuk media supaya tidak menyebarkan berita tidak benar.

“Jika mereka mempunyai maklumat, salurkan kepada pihak polis. Jangan menokok tambah.

“Pegawai kami tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengatakan remaja itu dilarikan seperti yang dilaporkan media antarabangsa yang memetik sumber dari polis Malaysia,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Nora Anne Quoirin
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 11:01 PM
    PASUKAN Gerakan Am (PGA) menjalankan misi pencarian mangsa. FOTO Adzlan Sidek. (Gambar kecil) Nora Anne Quoririn, 15.
    PASUKAN Gerakan Am (PGA) menjalankan misi pencarian mangsa. FOTO Adzlan Sidek. (Gambar kecil) Nora Anne Quoririn, 15.