Kumpulan terakhir membabitkan 451 jemaah Malaysia berlepas pagi tadi. FOTO Mohamad Hussin
Kumpulan terakhir membabitkan 451 jemaah Malaysia berlepas pagi tadi. FOTO Mohamad Hussin
Mohamad Hussin


KUMPULAN terakhir membabitkan 451 jemaah Malaysia berlepas menerusi penerbangan KT68B (MH8178) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang 9.15 pagi tadi.

Mereka dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah pada 12.55 tengah hari (waktu Arab Saudi).

Buat masa ini, hampir keseluruhan daripada kuota jemaah haji iaitu 30,200 kini sudah berada di Makkah untuk menunaikan fardu haji sempena musim haji 1440H/2019M.

Daripada jumlah itu, tujuh jemaah Malaysia sudah meninggal dunia.

70 penerbangan berlepas dari KLIA ke Tanah Suci sejak beroperasi, 4 Julai lalu.

Pengarah Operasi Stesen Sepang, Khairoddin Ahmad berkata, 838 petugas Operasi Haji Tanah Air (OHTA) membantu melancarkan proses berkenaan.

Beliau berkata, OHTA membabitkan petugas TH, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Penerbangan Malaysia (MAS), Kementerian Kesihatan dan pelbagai agensi lain.

“Terdapat lapan stesen yang beroperasi iaitu KLIA, lapangan terbang Alor Setar, Pulau Pinang, Senai, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Kota Kinabalu dan Kuching.

“Operasi di Kompleks Tabung Haji (TH), di sini, tahun ini lebih lancar selepas beberapa penambahbaikan dijalankan bagi memudahkan bakal haji menjalani urusan pendaftaran.

“TH memperkenalkan laluan khas untuk jemaah masuk ke dewan pelepasan dan pada masa yang sama memudahkan ahli keluarga menghantar jemaah,” katanya.

Sebarang pertanyaan, boleh menghubungi Pusat Panggilan TH di talian 03-62071919.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 1:00 PM