Mohamed Azmin (dua dari kanan) bersama Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow (dua dari kiri) ketika menghadiri Mesyuarat Sesi Libat Urus Penyediaan RMKE12 bersama kerajaan negeri Pulau Pinang. FOTO Danial Saad
Mohamed Azmin (dua dari kanan) bersama Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow (dua dari kiri) ketika menghadiri Mesyuarat Sesi Libat Urus Penyediaan RMKE12 bersama kerajaan negeri Pulau Pinang. FOTO Danial Saad
Muhammad Yusri Muzamir


MENTERI Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali menggesa semua pihak berhenti membuat spekulasi berhubung sokongannya terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, sokongannya kepada Dr Mahathir adalah bagi mewujudkan konsistensi dalam pentadbiran dalam mewujudkan kestabilan negara.

Katanya, sokongannya kepada Dr Mahathir tidak menggambarkan beliau tidak menyokong kepemimpinan Anwar selain menegaskan tumpuan seharusnya diberikan untuk memperkasa ekonomi negara bagi kepentingan rakyat.

“Kenyataan saya jelas mengenai ekonomi sebab kestabilan politik penting untuk menarik pelaburan baharu dan peluang pekerjaan.

“Ini penting untuk Dr Mahathir teruskan kepemimpinan beliau. Rakyat kini sedang menderita dan kita perlu bekerjasama mengatasinya.

“Ini untuk mewujudkan konsistensi dan kestabilan politik sehingga kita buat keputusan pada pilihan raya seterusnya.

“Itu saja dan saya tak berhasrat untuk menyinggung mana-mana individu kerana bagi saya tumpuan kepada kementerian dan ekonomi lebih penting.

“Saya juga sedar rakyat terlalu penat dengan ‘political fatigue’ kerana baru setahun diberikan mandat tetapi sudah bincang perkara politik. Bagi saya, ini tak sihat...kita sepatutnya terus bekerja dan menguntungkan rakyat,” katanya pada sidang media di Georgetown hari ini.

Selasa lalu Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak, dipetik berkata, sokongan PAS dan UMNO terhadap kepemimpinan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal membuktikan keyakinan rakyat terhadap negarawan ulung negara itu.

Beliau berkata, sokongan yang dinyatakan menerusi kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu menjelaskan dukungan bipartisan terhadap Dr Mahathir.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin menafikan dakwaan beliau dilihat kerap tidak menyertai pelbagai aktiviti atau mesyuarat PKR selain menegaskan keutamaan kepada parti dan negara diberikan secara sama rata.

“Saya ada sertai (aktiviti atau mesyuarat PKR) dan malam ini akan bertemu dengan kepemimpinan negeri. Tanggungjawab dalam parti penting, tetapi kepada negara lebih penting.

“Kita (Pakatan Harapan) diberikan mandat untuk mentadbir negara Mei tahun lalu dan biarkan kita bekerja dulu kerana rakyat mahu lihat hasilnya.

“Saya akui ada beberapa isu diketengahkan ahli parti tetapi saya yakin ia dapat diselesaikan menerusi kebijaksanaan pemimpin PKR,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa menafikan sering mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir bagi membincangkan isu berkaitan politik.

“Sebaliknya, setiap perjumpaan bersama Dr Mahathir adalah bagi membincangkan isu berkaitan kementerian dan ekonomi negara selain fokus diberikan kepada penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

“Saya bertemu dengan Dr Mahathir bagi membincangkan isu negara tambahan saya ada mempengerusikan beberapa suruhanjaya membabitkan pelbagai negara.

“Saya terlalu sibuk dengan pelbagai perkara dan tiada masa untuk berbincang perihal politik dengan Perdana Menteri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 6:20 PM