Wanita yang sarat mengandung hanya mampu melihat suaminya bersama abang iparnya dan tiga rakan mereka dalam serbuan AADK di Kampung Delek, Klan, hari ini. Foto Ihsan AADK
Wanita yang sarat mengandung hanya mampu melihat suaminya bersama abang iparnya dan tiga rakan mereka dalam serbuan AADK di Kampung Delek, Klan, hari ini. Foto Ihsan AADK
Siraj Mohd Zaini


LULUH hati seorang wanita yang sarat mengandung apabila mengetahui suaminya ditahan dalam serbuan di sebuah kediaman di Kampung Delek di Klang hari ini, adalah penagih dadah.

Serbuan kira-kira 9 pagi itu dilakukan penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) turut menahan abang ipar wanita itu serta tiga lagi rakan mereka berusia lingkungan 30-an.

Sumber berkata, pasangan suami isteri yang berkahwin pada tahun lalu itu mula menyewa kediaman terbabit kira-kira seminggu lalu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kesemua lelaki berkenaan dipercayai mengambil syabu pada malam tadi sebaik saja selesai mengemas rumah berkenaan.

“Akibat penat mengemas dan menagih dadah, kelima-lima mereka kemudiannya tertidur di ruang tamu rumah,” katanya kepada Harian Metro.

Sumber memberitahu, hasil ujian saringan awal air kencing juga mendapati semua lelaki berkenaan positif syabu selain pihaknya turut merampas beberapa peralatan menghisap dadah berkenaan.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati kelima-lima mereka mengaku terbabit dengan penagihan dadah sejak setahun lalu.

“Mereka juga kebiasaannya akan membeli syabu pada harga RM50 bagi sepaket dadah seberat 0.5 gram,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi AADK Klang Ezwan Shahrin Saihani mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) 1983.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 5:17 PM