APMM berjaya menggagalkan cubaan sebuah bot nelayan Vietnam mengaut hasil gamat dengan berselindung di sebalik bot klon berpendaftaran tempatan. FOTO IHSAN APMM
APMM berjaya menggagalkan cubaan sebuah bot nelayan Vietnam mengaut hasil gamat dengan berselindung di sebalik bot klon berpendaftaran tempatan. FOTO IHSAN APMM
Fardy Bungga


CUBAAN sebuah bot nelayan Vietnam mengaut hasil gamat dengan berselindung di sebalik bot klon dengan nombor pendaftaran tempatan, gagal apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Isnin lalu.

Bot dikendalikan sepenuhnya warga Vietnam ditahan jam 4.40 petang di kedudukan 1.8 nautika timur laut Pulau Mandi Darah, Pitas, Kudat, turut dikesan membawa kira-kira 300 kilogram gamat dianggarkan bernilai ratusan ribu ringgit.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, kumpulan enam nelayan terbabit ditahan APMM yang melakukan rondaan di perairan berkenaan.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati, lesen bot sememangnya bot tempatan tetapi berdasarkan spesifikasi bot, ia bercanggah dengan maklumat lesen.

“Malah pemeriksaan lanjut turut mendapati pasport nelayan ditahan tiada dalam rekod pergerakan keluar dan masuk ke negara ini.

“Berikutan itu, APMM mengambil tindakan menahan semua nelayan berusia 21 hingga 40 tahun termasuk bot ke jeti untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Bagaimanapun, Boon berkata, usaha menunda bot berdepan kesukaran berikutan jarak yang jauh selain keadaan angin kencang serta laut bergelora.

Namun katanya, bot berkenaan selamat tiba di Jeti Awam Kudat, kelmarin, dengan diiringi bot ronda APMM.

“Bot sudah diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM550,000 termasuk bot, peralatan serta sumber laut yang ditemui.

Boon berkata, bot itu dipercayai menjalankan aktiviti menangkap gamat berdasarkan kelengkapan bot tanpa pukat tetapi menggunakan alat untuk menangguk gamat.

“Kaedah digunakan kumpulan perompak hasil laut negara ini juga dilarang kerana memberi kesan jangka masa panjang kepada sistem ekologi dan biodiversiti marin,” katanya.

Boon berkata, penggunaan tangguk besi boleh merosakkan batu karang yang menjadi habitat hidupan marin.

“Orang ramai boleh menghubungi Malaysian Emergency Respond System (MERS 999) atau Pusat Operasi Maritim Kudat di talian 088-611 858 sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah atau kejadian kemalangan yang berlaku di perairan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 5:01 PM