Gambar kehadiran anjing liar di kawasan perumahan Fasa 10 yang sempat di alan 10/14, Taman Puteri Kulai yang sempat dirakam Nurul Fatini. Foto Ihsan FB Makndak Uyul
Gambar kehadiran anjing liar di kawasan perumahan Fasa 10 yang sempat di alan 10/14, Taman Puteri Kulai yang sempat dirakam Nurul Fatini. Foto Ihsan FB Makndak Uyul
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


“Kami terancam,” kata Nurul Fatini Ahmad, 33, berhubung tular video berdurasi pendek memaparkan kumpulan anjing liar yang dirakam di kawasan perumahannya di Fasa 10, Jalan 10/14, Taman Puteri Kulai di Kulai.

Ibu kepada tiga anak berusia setahun hingga lima tahun itu berkata, dia terpaksa berkongsi video berdurasi 42 saat itu kerana mahu memberi gambaran mengenai situasi sebenar.

Menurutnya, anjing liar itu bukan saja mengancam keselamatan anak-anaknya tetapi ia membahayakan penduduk setempat.

“Sehingga kini, sudah dua penunggang motosikal termasuk posmen kemalangan hingga ada tercedera akibat dikejar kumpulan anjing liar itu.

“Ancaman itu turut menyebabkan mengakibatkan ibu bapa terpaksa mengurung anak-anak di rumah kerana bimbang keselamatan ketika berada di luar rumah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ditanya mengenai rakaman itu, Nurul Fatini berkata, ia senario biasa yang disaksikannya setiap hari.

“Setiap malam di sinilah ‘port’ anjing liar ini dan setiap pagi jugalah anjing liar ini kelihatan dalam jumlah banyak di hadapan rumah saya.

“Niat saya berkongsi video ini mahu berkongsi situasi yang kami perlu lalui apatah lagi jumlah anjing liar hingga melebihi 10 ekor dalam satu-satu masa,” katanya.

Menurutnya, dia tidak mahu bersikap rasis, namun terdapat juga penduduk tidak bertanggungjawab melepaskan anjing peliharaan pada waktu malam.

“Ada antara penduduk yang memelihara lebih tiga ekor anjing dan melepaskan haiwan itu pada waktu malam.

“Keluhan ini bukan saja disuarakan saya seorang malah turut dikongsi FB Komuniti Kulai yang meluahkan isu sama mengenai kebanjiran anjing di rumah mereka,” katanya.

Menurutnya, kehadiran anjing turut meninggalkan kesan kekotoran kerana najis haiwan itu boleh dilihat di merata tempat.

Berikutan itu, katanya, penduduk merayu pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat menangani masalah anjing liar di kawasan perumahan mereka itu dengan lebih berkesan.

“Walaupun buat masa ini belum ada kes serangan anjing liar dilaporkan di kawasan ini, kebimbangan berhubung keselamatan orang ramai memerlukan perhatian dan tindakan serius PBT.

“Apa gunanya taman permainan disediakan kepada kanak-kanak, jika tidak dapat digunakan akibat ancaman anjing liar berkeliaran di perumahan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 2:45 PM