SUSPEK terbabit. FOTO Ihsan PPM
SUSPEK terbabit. FOTO Ihsan PPM
Norasikin Daineh


TINDAKAN lelaki tempatan cuba mengedar rokok tidak bercukai membawa padah apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam Ops Landai Khas di Kampung Tanjung Kapor, Kudat, semalam.

Dalam kejadian 7 pagi itu, suspek berusia 34 tahun memandu Proton Saga FLX ditahan selepas didapati membawa muatan sebanyak 990 karton rokok tidak bercukai.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, pemeriksaan dalam kenderaan itu membawa kepada penemuan 198,000 batang rokok bernilai RM39,600.

“Jumlah keseluruhan nilai termasuk rokok dan kenderaan yang dirampas dianggarkan bernilai RM71,700.

“Tangkapan dan barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 ganda nilai atau RM100,000 sehingga tidak lebih daripada 20 ganda nilai suapan atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 10:13 AM