SULTAN Abdullah bersama Tunku Azizah pada Istiadat Pemasyhuran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang di Istana Abu Bakar, Pekan, 15 Januari lalu. FOTO Arkib NSTP.
SULTAN Abdullah bersama Tunku Azizah pada Istiadat Pemasyhuran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang di Istana Abu Bakar, Pekan, 15 Januari lalu. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

SEJAK menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Jan lalu, sifat rendah diri, keprihatinan dan kesederhanaan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjadi pujian rakyat.

Ia sekali gus meletakkan baginda sebagai Ketua Negara yang disayangi semua lapisan masyarakat.

Pada Selasa ini, Sultan Abdullah akan ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong dan secara rasminya menggalas tanggungjawab sebagai payung mahkota yang menaungi rakyat Malaysia selama lima tahun.

Bagi ramai rakyat negara ini, Istiadat Pertabalan itu adalah peristiwa bersejarah yang ditunggu-tunggu kerana selain bangga mendapat seorang raja yang dekat dengan rakyat, Sultan Abdullah juga diharap dapat menaungi masyarakat majmuk di negara ini dengan penuh iltizam, adil dan saksama.

Anak jati Pahang, Muzaman Abd Kadir, 36, melahirkan rasa bangga kerana berpeluang melihat Sultan Pahang sendiri yang menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong.

“Sepanjang umur saya, sudah beberapa kali saya saksikan istiadat seumpama ini, tetapi kali ini lebih istimewa kerana Sultan Pahang (Sultan Abdullah) yang ditabalkan sebagai Agong,” katanya yang bertugas sebagai pegawai khidmat pelanggan syarikat komunikasi di ibu kota.

Turut berkongsi perasaan sama, Esham Shul Md Din, 49, yang merancang untuk membawa keluarganya melawat Istana Negara pada Selasa ini, yang diisytiharkan sebagai cuti umum bersempena istiadat itu.

“Selain menonton upacara istiadat itu di rumah, saya rancang nak bawa anak-anak untuk melawat Istana Negara. Malah, kami sekeluarga dah merancang untuk ke Pameran Raja Kita di Muzium Diraja, Kuala Lumpur minggu depan,” katanya.

Sultan Abdullah dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam, menggantikan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada 15 Januari, dan dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja, 24 Januari lalu dan melafaz sumpah serta menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari.

Di Kuantan, bekas pengasuh baginda Hashimah Mat Ali, 80, menyifatkan figura diraja itu terlalu istimewa di hati rakyat kerana sifat penyayang yang diwarisi daripada Almarhum Paduka Ayahanda cukup tinggi.

“Kini seluruh rakyat Malaysia dapat mengenali lebih dekat sisi peribadi tuanku yang rakyat Pahang sudah lama kenal dan rasa bertuah kami kerana mempunyai Sultan yang amat bertanggungjawab,” katanya kepada Bernama.

Asmayudim Uyub, 42, yang bekerja sendiri menyifatkan Sultan Abdullah sebagai seorang raja yang begitu dekat dengan rakyat dan tidak pernah sesekali melupakan rakyat yang dilanda bencana atau kesusahan.

“Gandingan Tuanku dengan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menjadikan pasangan itu lebih istimewa kerana Tunku Azizah juga sentiasa mengambil berat akan keprihatinan rakyat,” katanya.

Pekerja swasta, Yong Siew Meng, 43, dari Sungai Lembing, Kuantan pula yakin Sultan Abdullah dan Tunku Azizah akan menjadi pemerintah yang baik, memastikan keharmonian negara terus terpelihara dan akan bersama-sama pentadbiran negara memulihkan ekonomi supaya rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih baik.

Di Johor Bahru, iaitu negeri kelahiran Tunku Azizah, pekerja kedai serbaneka C.Chamundiswary, 24, berharap pertabalan Yang di-Pertuan Agong mampu membuka hati dan minda masyarakat Malaysia untuk bersama-sama berganding bahu mengekalkan keharmonian hidup di negara ini.

“Pertama sekali, saya ucapkan tahniah atas pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Raja Permaisuri Agong, semoga dengan Seri Paduka berdua yang berjiwa rakyat dapat menyatupadukan rakyat berbilang kaum dan semua dapat hidup aman dan damai,” katanya.

Senada dengan Chamundiswary, pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Nurul Izati Ab Rahman, turut mengharapkan perpaduan antara kaum dapat kembali utuh selepas kerapuhan perpaduan dilihat agak ketara sejak kebelakangan ini.

“Selepas ini, saya harapkan masyarakat lebih bersatu padu, mengambil contoh daripada sikap Tuanku yang banyak merendah diri dan mengambil berat tentang rakyat,” kata penuntut tahun ketiga jurusan Pentadbiran Perniagaan.

Ahmad Sobri Muzammil Hussain pula mendoakan kesihatan dan kesejahteraan Yang di-Pertuan Agong untuk menerajui negara yang berdaulat.

“Diucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdullah di atas pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-16 dengan ucapan baginda terus diberikan dan dikurniakan kesihatan yang baik untuk menerajui Malaysia agar menjadi negara yang aman, makmur dan sejahtera,” kata guru muzik ‘Ukulele’ dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mahkota Felda Aping Timur, Kota Tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 11:00 AM