RAKAMAN kejadian yang tular di media sosial.
RAKAMAN kejadian yang tular di media sosial.
Faliq Lajim


TINDAKAN lelaki mengheret seekor anjing dalam keadaan ‘memaksa’ menggunakan tali di luar sebuah klinik veterinar di Setapak, Kuala Lumpur, mengundang kemarahan netizen.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika berkata, pihaknya mendapat aduan daripada orang awam yang memaklumkan kejadian itu, petang semalam.

Beliau difahamkan, lelaki berusia 60-an itu baru saja membawa haiwan peliharaannya itu keluar dari sebuah klinik berkenaan.

“Ada pihak yang sudah menasihati lelaki itu. Namun, pemilik anjing berkenaan dengan angkuh menjawab ‘Lu apa sibuk. Ini saya punya anjing. Ikut suka saya la’.

“Tindakan lelaki yang menyeret anjing itu secara kasar adalah tidak selamat dan boleh mengundang kesakitan serta kecederaan pada haiwan terbabit.

“Ia sekali gus membahayakan nyawa haiwan berkenaan. Kita khuatir tali pengikat akan menjerut leher anjing itu,” katanya.

Arie berkata, pemilik anjing dinasihati agar lebih peka dalam mengendalikan anjing milik mereka supaya insiden begini tidak berulang.

“Akta Kebajikan Haiwan 2015 memberi garis panduan kepada pemilik haiwan mengenai tatacara mengendalikan haiwan dan kesesuaian saiz sangkar.

“Ia termasuk pengangkutan haiwan yang selesa, hak kebajikan haiwan termasuk makanan yang sesuai dan hak mendapatkan rawatan veterinar sekiranya sakit.

“Kaedah paling selamat untuk membawa haiwan ke sesuatu destinasi sama ada ke klinik veterinar untuk mendapatkan rawatan adalah menggunakan ‘carrier cage’ yang sesuai dengan saiz haiwan.

“Langkah ini lebih mesra untuk mengurangkan rasa cemas dan takut terhadap persekitaran yang dianggap boleh mengancam diri haiwan,” katanya.

Katanya lagi, klinik veterinar juga disaran untuk mengenakan syarat supaya pemilik perlu membawa haiwan peliharaan menggunakan sangkar yang sesuai.

Terdahulu, video berdurasi 16 saat itu memaparkan lelaki terbabit sedang mengheret seekor anjing dengan tali yang diikat pada leher haiwan berkenaan.

Turut kedengaran dalam video itu, suara seorang wanita yang cuba menghalang lelaki itu dengan berkata ‘Uncle (pak cik), jangan buat macam itu, sakitlah’.

Tidak beberapa lama kemudian, datang lagi seorang individu yang kemudiannya membantu lelaki itu untuk mengangkat anjing berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 8:00 PM