Ramli Ibrahim


SERAMAI 173 Orang Asli suku Batek yang dikuarantin di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Etnobotani akibat demam campak dibenarkan pulang hari ini.

Mereka dikuarantin 36 hari sejak 18 Jun lalu, kini kembali ke kediaman masing-masing di Kuala Koh selepas kesihatan mereka bebas daripada sebarang wabak penyakit.

Mereka dihantar pulang 12 tengah hari menerusi konvoi lapan kenderaan diketuai peronda polis daripada Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Gua Musang dan tiba di Kampung Kuala Koh 2.30 petang.

Selain polis, agensi lain yang terbabit adalah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA); Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM); Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang.

Pengarah JAKOA Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid berkata, Orang Asli suku Batek yang dihantar pulang ke rumah kini dapat memulakan hidup baru selepas bebas jangkitan wabak demam campak.

Beliau mengakui kampung itu sebelum ini sunyi apabila lebih 170 daripada 200 penduduk menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM) dan Hospital Kuala Krai (HKK) kerana jangkitan wabak penyakit terbabit.

173 Orang Asli suku Batek dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini selepas 36 hari dikuarantin. FOTO Ramli Ibrahim
173 Orang Asli suku Batek dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini selepas 36 hari dikuarantin. FOTO Ramli Ibrahim

Katanya, mereka yang keluar daripada dua hospital itu tidak dibenarkan pulang ke rumah sebaliknya dikuarantin di PPS Etnobotani untuk keselamatan dan kesihatan bagi mengelak berjangkit.

“Ketika mereka berada di PPS itu, kita mengambil kesempatan mengadakan program gotong-royong perdana Khamis lalu dengan membersih sekitar kediaman kampung berkenaan.

“Justeru, mereka yang pulang dapat tinggal dalam suasana bersih selepas gotong-royong itu,” katanya ditemui hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, operasi penghantaran Orang Asli dari PPS selamat sampai ke Kampung Kuala Koh petang ini.

Beliau berkata, pihaknya mengiringi mereka supaya tidak ada kejadian tidak diingini berlaku sepanjang perjalanan pulang ke kampung mereka yang mengambil masa dua jam setengah.

“Walaupun peringkat permulaannya dilihat mereka murung ketika mula-mula dikuarantin di PPS tetapi selepas diberi kaunseling dan makanan mencukupi suasananya semakin ceria,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 8:20 PM