Amirudin meninjau kerja pemulihan bekalan air akibat insiden pencemaran di kolam takungan hiliran Kampung Hang Tuah, Bestari Jaya. FOTO Ihsan Pejabat Menteri Besar Selangor
Amirudin meninjau kerja pemulihan bekalan air akibat insiden pencemaran di kolam takungan hiliran Kampung Hang Tuah, Bestari Jaya. FOTO Ihsan Pejabat Menteri Besar Selangor
Siraj Mohd Zaini


KERAJAAN Selangor mengarahkan semua pontun bagi kerja pengorekan dan penyedutan pasir yang tidak lagi beroperasi di bawa keluar terutamanya di sekitar Sungai Selangor.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata, pihaknya sudah meminta Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta agensi berkaitan melaksanakannya segera bagi mengelakkan tragedi sama berulang.

“Kita mahu pontun tidak dibiarkan begitu saja di sungai sehingga mengakibatkan pengaliran minyak dan sebagainya.

“Ini berikutan pencemaran kali kedua di Sungai Selangor adalah disebabkan minyak diesel dipercayai angkara sabotaj,” katanya pada sidang media di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP 2) di Kuala Selangor hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, kejadian tumpahan minyak diesel terjadi di pontun kira-kira enam kilometer (km) dari LRA SSP2 6 petang semalam.

Beliau berkata, pontun terbabit dikendalikan syarikat kontraktor Kumpulan Semesta Sdn Bhd dan beroperasi sejak 2013 dan mempunyai lesen bagi kerja pengorekan dan penyedutan pasir.

“Bagaimanapun, ia tidak lagi digunakan sejak dua bulan lalu berkemungkinan sudah sampai had pengorekan pasir.

“Kejadian pencemaran ini mungkin berpunca daripada angkara khianat dan biar polis menjalankan siasatan mereka,” katanya.

Terdahulu, Air Selangor dalam kenyataan memaklumkan keempat-empat loji iaitu LRA Rantau Panjang, LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 (LRA SSP1, LRA SSP2, LRA SSP3) sudah kembali beroperasi pada 3 pagi tadi.

Dalam pada itu, itu, Amirudin meminta orang ramai tidak meletakkan semua kesalahan di bawah Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd (Air Selangor) semata-mata apabila berlaku kejadian sebegini.

“Ramai menyalahkan Air Selangor secara keseluruhan. Air Selangor memproses air dan mengagihkan manakala pemantauan air sungai dilakukan LUAS dan JPS.

“Setiap air yang masuk di muka sauk mempunyai sistem pengesanan (bagi mengesan segala pencemaran).

“Kalau tiada pengesanan di peringkat awal, sudah lama air tercemar masuk kawasan perumahan dan kita terpaksa cuci loji kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 5:22 PM