LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Amir Mamat


“SAYA tidak akan minta maaf walau didesak berulang kali untuk berbuat demikian”, tegas EXCO Pertanian, Pembangunan Usahawan Koperasi dan Industri Asas Tani Melaka, Norhizam Hassan Baktee.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desakan beberapa pihak yang mahu permohonan maaf darinya kerana dikatakan menghina fizikal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Zaidi Attan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Selasa lalu.

Mengulas lanjut, beliau tidak rasa perkataan yang dikeluarkan pada persidangan itu menghina Zaidi kerana beliau tidak langsung menyebut nama seseorang ketika itu.

“Saya tidak ada langsung sebut perkataan ‘pendek’, cuma ada sebut ‘saya ada dengar suara dari sebelah kiri, saya tidak nampak orangnya, kalau nak bercakap berdiri atas kerusi’, itu saja.

“Nama tak disebut. Tak perlu saya minta maaf sebab saya tidak buat salah apa-apa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan pampasan kepada 32 penduduk Kampung Peringgit, di Melaka yang terkesan masalah habuk berikutan kerja meruntuhkan bangunan Pasar Besar Melaka Sentral, Melaka, hari ini.

Selasa lalu, Norhizam yang juga ADUN Pengkalan Batu dikatakan menghina fizikal Zaidi ketika sesi soal jawab pada persidangan berkenaan.

Zaidi yang bangun untuk membacakan peraturan Dewan, ditegur Norhizam dengan berkata beliau hanya mendengar suara namun tidak nampak orang yang bercakap.

“Saya dengar suara je, orang saya tak nampaklah. Kalau nak baca buku (Peraturan Dewan) panjat kerusilah baru saya nampak.”

Susulan itu, Pemuda UMNO Jasin dan UMNO DUN Serkam mendesak Norhizam membuat permohonan maaf secara terbuka dan peribadi kepada Zaidi.

Berita berkaitan

Rileks la YB, benda boleh bincang..

'UMNO mati' bikin kecoh

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 5:51 PM