Kereta dipandu mangsa yang terbabit kemalangan semalam. FOTO Ihsan PDRM
Kereta dipandu mangsa yang terbabit kemalangan semalam. FOTO Ihsan PDRM
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


GURU maut selepas kereta dipandunya bertembung lori di Kilometer 40 Jalan Lipis-Sungai Koyan, Lipis semalam.

Dalam kejadian 6 petang itu, mangsa Mazlina Abdullah, 38, beralamat di Kampung Dalam Rhu, Tumpat, Kelantan maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal pihaknya mendapati mangsa yang memandu Perodua Viva dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori yang datang dari arah Kuala Lipis menuju ke Sungai Koyan, di sini.

“Akibat kemalangan itu mangsa tersepit dalam kenderaannya dan maut di tempat kejadian manakala pemandu lori Mohd Fadzli Ahmad, 49, tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata, siasatan di lokasi kemalangan mendapati jalan berselekoh dan ketika kejadian permukaan jalan basah akibat hujan.

Katanya, mayat dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat dan kejadian sudah dimaklumkan kepada keluarga mangsa.

“Kita sudah mengambil keterangan pemandu lori untuk membantu siasatan.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi pejabat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 8:25 AM