Fairul Asmaini Mohd Pilus


PENDEPOSIT Tabung Haji (TH) mengeluarkan simpanan RM3 bilion selepas hibah 2018 diumumkan 5 April lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, pengeluaran tinggi itu adalah menjadi kebiasaan seperti tahun sebelum ini iaitu selepas pengumuman hibah diisytiharkan.

Fuziah berkata, jumlah simpanan terkumpul pendeposit pada 4 April 2019 iaitu sebelum pengumuman hibah 2018 adalah RM74.1 bilion manakala simpanan terkumpul pendeposit pada 31 Mei 2019 berjumlah RM71.1 bilion.

“Pengeluaran tinggi ini menjadi kebiasaan seperti tahun sebelum ini selepas pengumuman hibah diisytiharkan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Fuziah menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (Pas-Kuala Krai) mengenai jumlah perbezaan wang deposit TH selepas pengumuman bonus dan jumlah wang pendeposit yang dikeluarkan selepas pengumuman dilakukan.

Menurut Fuziah, selepas pengumuman hibah 2018, keyakinan pendeposit kepada Tabung Haji dilihat masih utuh.

Ia berdasarkan pertambahan bilangan pendeposit baharu dan jumlah simpanan yang konsisten.

Katanya, pendeposit baharu bagi tempoh Januari 2019 hingga Mei 2019 iaitu selepas pemulihan dan penstrukturan semula TH adalah 133,000 orang dengan jumlah deposit sebanyak RM83 juta.

“Bagi tempoh April hingga Jun 2019 (selepas pengumuman hibah pada 5 April 2019), TH turut mencatatkan pertambahan pendeposit baharu yang melebihi 46,000 orang.

“Selain itu, tiada sebarang pengeluaran yang luar biasa sehingga Jun 2019, ini menggambarkan keyakinan pendeposit terus konsisten terhadap TH,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 12:56 PM