Mohd Azam Shah Yaacob


POLIS membuka satu kertas siasatan bagi mengesan penunggang motosikal yang meragut rantai leher wanita di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, 4 Julai lalu.

Ketua Polis Dang Wang Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, kejadian ragut berhampiran pusat beli-belah dirakam lelaki yang kemudian tampil membuat laporan polis.

Bagaimanapun, katanya wanita yang menjadi mangsa ragut berkenaan sehingga hari ini masih belum tampil membuat laporan polis.

“Dalam kejadian yang berjaya dirakamkan lelaki itu, suspek yang menunggang motosikal telah meragut rantai leher seorang wanita yang sedang melintas jalan dari arah pusat beli belah Sogo menuju ke Kompleks Pertama.

“Lelaki yang berjaya merakamkan kejadian itu sudah tampil membuat laporan polis dan satu siasatan dijalankan berdasarkan laporan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Namun, beliau berkata, polis masih belum menerima sebarang laporan daripada mangsa dan menyeru wanita terbabit untuk tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Semalam, tular di media sosial rakaman video berdurasi kira-kira satu minit memaparkan seorang wanita yang sedang melintas jalan diragut seorang penunggang motosikal.

Rakaman itu dirakam secara tidak sengaja oleh seorang lelaki bukan sekadar memaparkan detik bagaimana peragut melakukan kegiatan jenayah berkenaan dengan pantas, sebaliknya turut berjaya merakam dengan jelas jenis motosikal digunakan, nombor pendaftaran dan wajah suspek.

Berita berkaitan:

  • Tolong cari peragut ini...
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2019 @ 11:55 AM