FOTO hiasan
FOTO hiasan
Shamsul Munir Safini


BERANG kerana tidak mendapat wang, seorang lelaki sanggup mengacukan parang kepada ibu kandungnya di Taman Kuala Bekah, Penaga, Kepala Batas, petang semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 petang, lelaki berusia 24 tahun yang juga penagih dadah tergamak bertindak melampau terhadap ibunya berusia 50 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek sebelum itu meminta wang daripada ibunya untuk membeli dadah, namun tidak dilayan.

“Suspek berang kerana permintaannya tidak dituruti sebelum mengamuk dan bertindak mengambil sebilah parang di dapur rumah dan mengacukannya ke arah ibunya.

“Mangsa diugut akan dicederakan sekiranya permintaan suspek tidak dituruti menyebabkan ibunya lari menyelamatkan diri,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian membuat laporan polis dan usaha memburu suspek dijalankan apabila dia melarikan diri.

Katanya, ketika melakukan siasatan, polis merampas sebilah parang digunakan suspek untuk mengugut wanita berkenaan.

Noorzainy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan suspek kini disenarai sebagai individu dikehendaki polis.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 12:26 PM