DEWAN Rakyat. FOTO arkib NSTP
DEWAN Rakyat. FOTO arkib NSTP
Hairulazim Mahmud


KERAJAAN akan membentangkan usul pindaan Perlembagaan yang baharu esok membabitkan umur mengundi 18 tahun, pendaftaran pengundian secara automatik dan kelayakan calon pilihan raya pada umur 18 tahun.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tambahan pindaan iaitu Perkara 119 (4) dan Perkara 47 berbanding hanya Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau yakin akan memperoleh undi dua pertiga bagi meminda Perlembagaan Persekutuan pada sidang Dewan Rakyat kali ini.

“Pembangkang pun sudah menyatakan komitmen akan menyokong pindaan itu. Mereka beri pengakuan akan menyokong kita dalam perjumpaan pagi tadi.

“Takkan mereka nak tipu saya. Ini Ketua Pembangkang (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) ada sebelah saya,” kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen di Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum itu kerajaan menarik balik dua Rang Undang-Undang (RUU) yang sudah dibacakan untuk kali pertama iaitu RUU Perlembagaan dan RUU Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Penarikan semula RUU Perlembagaan dibuat oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman manakala penarikan semula RUU MKN dibuat oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin.

Sementara itu Ismail berkata, pembangkang menghargai persetujuan kerajaan dengan syor tambahan iaiitu Perkara 119 (4) dan Perkara 47.

“Cuma saya nak ingatkan bahawa pindaan calon berusia 18 tahun, ia tidak secara automatik tapi mesti dicalonkan oleh parti.

“Pembangkang akan menyokong usul ini setelah melihat kerajaan serius apabila bersetuju dengan syor pembangkang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 7:23 PM