Proton Waja yang diubahsuai di bahagian penumpang belakang untuk menyeludup minyak ke negara jiran. FOTO Ihsan PGA
Proton Waja yang diubahsuai di bahagian penumpang belakang untuk menyeludup minyak ke negara jiran. FOTO Ihsan PGA
Muhamaad Razis Ismail


TINDAKAN mengisi minyak terlalu lama di sebuah stesen minyak di Rantau Panjang mengundang curiga pihak berkuasa semalam.

Berikutan itu pemeriksaan dilakukan sebelum menemui enam tong minyak selain tangki minyak diubah suai untuk diseludup ke negara jiran.

Dalam operasi 2 petang itu, Pasukan Gerakan Am (PGA) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menemui 90 liter petrol dalam Proton Waja.

Pegawai Pemerintah PGA 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, terdahulu tiga anggota PGA Batalion 7 dan KPDNHEP membuat pemantauan di lokasi berkenaan.

Katanya, lelaki berusia 33 tahun itu dilihat berada dalam keadaan mencurigakan apabila dilihat mengambil masa lama mengisi minyak.

“Pihak berkuasa kemudian menahan lelaki itu untuk siasatan. Pemeriksaan lanjut menemui enam tong minyak di tempat duduk penumpang dan tangki yang diubah suai.

“Jumlah minyak petrol yang diisi 90 liter membabitkan nilai keseluruhan termasuk kenderaan melebihi RM10,000,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pihaknya percaya lelaki itu mengisi petrol dalam jumlah banyak untuk diseludup keluar ke negara jiran.

“Semua barang rampasan diserahkan kepada KPDNHEP untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 21(1) Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Azhari berkata, dalam tempoh 27 hari melaksanakan Op Wawasan di sempadan Malaysia-Thailand, PGA 7 sudah mencatatkan 48 kes dengan nilai rampasan RM1.3 juta.

“Kita sentiasa bekerjasama dengan agensi lain di sempadan bagi memastikan tidak berlaku ketirisan barangan bersubsidi ke negara jiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 3:39 PM