Hairulazim Mahmud


KERAJAAN menarik balik dua Rang Undang-Undang (RUU) yang sudah dibacakan untuk kali pertama iaitu RUU Perlembagaan dan RUU Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Penarikan semula RUU Perlembagaan dibuat Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman manakala, penarikan semula RUU MKN oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin.

Ia dilakukan mengikut Peraturan Mesyuarat 62 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, hari ini.

RUU Pindaan Perlembagaan yang dibentangkan Syed Saddiq dibacakan untuk kali pertama pada Khamis lalu bertujuan untuk menurunkan had usia mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan sebelum ini sudah bersetuju memenuhi permintaan pembangkang yang mahukan pendaftaran pengundi secara automatik dilaksanakan.

Sementara itu, RUU MKN yang akan menyaksikan kuasa Perdana Menteri digugurkan dan hukuman lebih berat di bawah peruntukan sedia ada dibentangkan oleh Mohamed Hanipa pada 9 April lalu.

Antara lain, ia mengusulkan kuasa mengisytihar zon keselamatan dipindahkan daripada Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong atas nasihat MKN.

Bagaimanapun, Perdana Menteri kekal sebagai Pengerusi MKN.

Semalam, Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata, cadangan pindaan Akta MKN akan dibentangkan kepada Kabinet sebelum sesi sidang Dewan Rakyat akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 11:44 AM